TNB siap siaga bentuk kerjasama tangani trilema tenaga

TNB siap siaga membentuk kerjasama dengan kerajaan, pelabur dan pemegang taruh utama untuk menyegerakan ET yang bertanggungjawab di samping menangani trilema tenaga. - Gambar kecil: Baharin
TNB siap siaga membentuk kerjasama dengan kerajaan, pelabur dan pemegang taruh utama untuk menyegerakan ET yang bertanggungjawab di samping menangani trilema tenaga. - Gambar kecil: Baharin
A
A
A

SHAH ALAM - Tenaga Nasional Berhad (TNB) siap siaga membentuk kerjasama dengan kerajaan, pelabur dan pemegang taruh utama untuk menyegerakan peralihan tenaga (ET) yang bertanggungjawab di samping menangani trilema tenaga.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ir Baharin Din berkata, sehingga kini, TNB telah menandatangani 29 memorandum persefahaman (MoU) dengan organisasi tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai bidang peralihan tenaga (ET) termasuk taman solar, integrasi hidrogen dan ammonia dalam loji tenaga, sambung tara dan kenderaan elektrik.

Ujarnya, ia berikutan kerjasama strategik merupakan antara kunci bagi mencapai matlamat ET Malaysia.

“TNB percaya bahawa pendekatan secara kolaboratif dengan sokongan dasar, kemajuan teknologi dan pembiayaan yang mencukupi, adalah penentu kejayaan ET di samping menangani trilema tenaga,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Ulas Baharin, negara sedang memperkasakan infrastruktur penghantaran bagi mengukuhkan kerjasama serantau dan menyokong sambung tara sistem tenaga merentasi sempadan melalui Grid Tenaga ASEAN (APG)

“Pada masa ini, kami boleh menyokong tambahan 12GW melalui loji solar baharu dan

penyimpanan bateri di titik nod tertentu dalam infrastruktur domestik kami, selain daripada 4 GigaWatt (GW) tenaga boleh baharu (TBB) sedia ada.

“Kami secara proaktif sedang mengenal pasti lebih banyak titik nod demi mencapai matlamat nasional 70 peratus kapasiti TBB menjelang 2050 dan memenuhi permintaan tenaga negara jiran apabila diperlukan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut beliau, polisi, teknologi hijau dan pembiayaan adalah pemboleh utama bagi kejayaan ET.

Jelasnya, pelaburan besar diperlukan bagi mencapai matlamat ke arah Sifar Bersih ASEAN menjelang 2050.

"Kolaborasi serantau melalui platform seperti HAPUA (Heads of ASEAN Power Utilities/Authorities), SOME (Senior Officials Meeting on Energy) dan AMEM (ASEAN Ministers on Energy Meeting) telah mempercepatkan proses menuju objektif tenaga mampan," jelasnya.