Sekolah siap siaga jadi pusat mengundi - Fadhlina

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

KUALA SELANGOR - Semua sekolah yang dijadikan sebagai pusat mengundi berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, persiapan itu meliputi pelbagai aspek termasuk cuaca dan banjir.

Menurutnya, taklimat mengenai perkara berkenaan juga sudah disampaikan kepada pihak berkaitan.

"(Persediaan di pusat mengundi) merupakan pengalaman biasa dalam pilihan raya seperti sebelum ini dan bukannya kali pertama dan setakat ini, memang kita tidak mempunyai sebarang masalah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Ceramah Kelompok Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok di Kampung Harmoni, Ijok di sini pada malam Khamis.

Ditanya mengenai jumlah sekolah menjadi pusat pengundian, Fadhlina memberitahu, terdapat lebih 100 sekolah terlibat.

"Saya tidak ingat jumlah (tepat) itu, namun ia memang banyak," ujar beliau.

Sebelum ini, Fadhlina memaklumkan sekolah terlibat secara umumnya bersedia dari segi fizikal dan kemudahan.

Selepas pembubaran DUN dilakukan, Kementerian Pendidikan secara automatiknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyediakan sebarang keperluan.