Tak percaya Harimau Malaya dapat bangkit

Pasukan Harimau Malaya meraikan kemenangan selepas perlawanan Kumpulan D bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027, Malaysia menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Khamis. - Foto Bernama

A
A
A

TIDAK keterlaluan jika dikatakan kelibat bintang muda Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menjadi kunci utama kejayaan Harimau Malaya menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.

Kesemua jaringan yang diperoleh Harimau Malaya hadir menerusi pemain sayap lincah yang menyarung jersi nombor 12 itu termasuk jaringan sendiri pertahanan Kyrgyzstan, Khristiin Brauzman pada minit ke-71.

Sebelum itu, dua sepakan sudut Arif Aiman ditanduk masuk Dion Cools untuk gol pertama dan ketiga, selain gerakan lincahnya menyebabkan Brauzman menjaringkan gol sendiri untuk gol kedua Harimau Malaya.

Arif Aiman (tengah) diasak dua pemain Kyrgyzstan pada perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Arif Aiman (tengah) diasak dua pemain Kyrgyzstan pada perlawanan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Malaysia menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pemain berusia 21 tahun itu menutup malam gemilang Harimau Malaya dengan gerakan menarik bersama Endrick dos Santos sebelum dia melorongkan bola kepada Faisal Halim yang menyudahkan jaringan kemenangan pada masa kecederaan.

Bagi Arif Aiman, dia sendiri tidak menjangka Harimau Malaya mampu bangkit membenam Kyrgyzstan selepas ketinggalan dua gol ketika saingan berbaki 18 minit.

“Terkejut kerana kita kena (bolos) tiga gol tetapi tiada sebab untuk kami mengalah. Jadi, kami terus lakukan yang terbaik dan dapatkan tiga lagi gol untuk menang.

“Tak percaya juga dapat bangkit kerana kami menentang pasukan yang berada di ranking lebih tinggi tetapi apa yang penting adalah kami meraih kemenangan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!