Kadar kenaikan cukai pintu MBPG tinggi - Exco Johor

MOHD JAFNI
MOHD JAFNI
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri tidak bersetuju dengan kadar kenaikan cukai pintu antara 40 sehingga 50 peratus yang mahu dilaksanakan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) pada tahun depan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor mengakui kadar kenaikan tersebut tinggi dan pihak kerajaan negeri sedang meneliti perkara berkenaan.

"Kita maklum akan luahan dan keluhan penduduk di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit. Sebenarnya kenaikan itu kategori agak tinggi.

"Sehubungan itu cadangan untuk menurunkan kadar kenaikan sehingga 40 peratus itu telah dikemukakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pecah Tanah dan Perasmian Galeri Paragon Gateway di sini hari pada Sabtu. Turut hadir, Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

Mohd Jafni percaya kerajaan negeri akan mempertimbangkannya setelah mendengar luahan dan keluhan penduduk.

"Jadi tunggulah pengumuman Menteri Besar, ada berita baik untuk semua pembayar cukai termasuk di Pasir Gudang," katanya.

Terdahulu, penduduk Pasir Gudang membantah cadangan kenaikan cukai harta yang dianggarkan antara 40 hingga 50 peratus di kawasan PBT berkenaan dan menganggap jumlah kenaikan itu terlalu mendadak.

Susulan itu, Ketua Whip Ahli Majlis MBPG, Datuk Mohd Amin Ahmad berkata, satu mesyuarat khas akan diadakan pada pertengahan bulan ini bagi membincangkan dan memutuskan kadar yang akan dipersetujui nanti.

Artikel Berkaitan: