Bekas ahli kongsi gelap peluk Islam dalam penjara

Mohd Bilal bertanya kepada Muhammad Ridzuan berkenaan ajaran agama Islam
Mohd Bilal bertanya kepada Muhammad Ridzuan berkenaan ajaran agama Islam
A
A
A

SEREMBAN - Siapa sangka seorang bekas ahli kongsi gelap menemui hidayah dengan memeluk agama Islam ketika menjalani hukuman penjara selama tiga tahun di Kompleks Penjara Sungai Udang, Melaka.

T Logeswaran, 38, atau nama Islamnya, Mohd Bilal Abdullah yang dibebaskan pada tahun lalu selepas selesai menjalani hukuman penjara atas kesalahan bergaduh menggunakan senjata sehingga mendatangkan kecederaan.

Dia terbabit dengan kegiatan gengster kira-kira empat tahun dan bekerja sebagai penarik kereta.

"Bagaimanapun sepanjang bergelumang dalam kongsi gelap, itu kali pertama saya ditangkap selepas menikam tapak tangan seorang lelaki hingga putus.

"Tapi tak sangka kehidupan di dalam penjara telah mengubah saya sepenuhnya sehinggalah seminggu sebelum dibebaskan saya terbuka hati untuk memeluk Islam," katanya ketika ditemui pada Program Kursus Pemantapan Aqidah Saudara Baru dan Anak Saudara Baru di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Mohd Bilal (tiga dari kanan) bersama peserta
Program Kursus Pemantapan Aqidah Saudara Baru dan Anak Saudara Baru.
Mohd Bilal (tiga dari kanan) bersama peserta Program Kursus Pemantapan Aqidah Saudara Baru dan Anak Saudara Baru.

Kata Mohd Bilal, semuanya bermula selepas dia sering didedahkan dengan agama Islam oleh rakan-rakan banduannya.

Ujarnya, sejak itu dia mula merasakan Islam adalah agama yang paling terbaik dan sekiranya mengenal Islam lebih awal, dia tidak akan terjerumus ke kancah jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Lebih kurang dua minggu sebelum dibebaskan, saya mengucap kalimah syahadah di hadapan pegawai penjara dan dua rakan yang mana merekalah memberi nama saya Bilal.

"Sejak peluk Islam, hati saya lebih tenang dan secara rasmi bergelar mualaf pada 5 April tahun lalu dengan mengucap syahadah buat kali kedua di Majlis Agama Islam Melaka sebaik saja dibebaskan dari penjara," katanya.

Mohd Bilal berkata, dia tidak lagi menoleh ke belakang dan nekad mahu berubah ke arah lebih baik demi anaknya, Muhammad Umar berusia enam tahun yang turut diislamkan sebulan selepas itu.

Tambahnya, dia masih belajar mengenai Islam dan kini tinggal bersama anaknya di rumah disediakan oleh Persatuan Ikatan Ukhwah Saudara Baru Negeri Sembilan(PIUSBNS) di Rahang di sini.

"Saya tidak dapat kembali kepada keluarga kerana mereka masih belum menerima keputusan saya memeluk Islam, tapi kami selalu berhubung.

"Tapi saya tak pernah berhenti mendoakan yang terbaik buat ibu bapa saya," katanya.

Sementara itu kata Mohd Bilal, dia sudah dua bulan tidak bekerja selepas terbabit kemalangan jalan raya yang mengakibatkan sikunya cedera.

Buat masa ini ujarnya, dia mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada PIUSBNS untuk meneruskan hidup dan mahu mencari kerja sebaik pulih dari kecederaan dialami.

"Saya masih bertatih untuk belajar agama dan bagi saya perlu lebih banyak program pemantapan akidah mualaf ini perlu dianjurkan.

"Ini kerana saya dapati ramai mualaf yang sesat dan tidak menjalani kehidupan sebagai seorang Islam yang sebenar," katanya.

Dalam pada itu Pengerusi PIUSBNS, Muhammad Ridzuan Lau Abdullah berkata, seramai 40 mualaf berusia 20 hingga 70an yang hadir dalam program yang kali pertama dianjurkan itu.

Peserta Program Kursus Pemantapan Aqidah Saudara Baru dan Anak Saudara Baru mendengar ceramah agama disampaikan.
Peserta Program Kursus Pemantapan Aqidah Saudara Baru dan Anak Saudara Baru mendengar ceramah agama disampaikan.