X

Kindly register in order to view this article
!

79 inisiatif, peraturan baharu menanti rakyat pada 2020

Program Subsidi Petrol
A
A

SEJUMLAH 79 inisiatif dan peraturan baharu bakal dikuatkuasakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) serta dinikmati rakyat negara ini sepanjang tahun 2020.

Jumlah itu merangkumi pelbagai inisiatif diumumkan kerajaan melalui pembentangan Belanjawan 2020, selain beberapa inisiatif atau undang-undang baharu berasingan diuar-uar pelbagai kementerian untuk dilaksanakan bagi membantu mensejahterakan rakyat.

Menjelang 1 Januari 2020, tumpuan rakyat pastinya terarah kepada pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) yang mencetuskan pelbagai reaksi dan polemik dalam kalangan rakyat.

Langkah kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memperkenalkan PSP bagi menggantikan sistem subsidi petrol secara pukal.

Sejumlah 2.86 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki kenderaan 1600cc dan ke bawah dan kereta melebihi 1600cc yang berjangka hayat 10 tahun dan ke atas layak menerima PSP.

Program Subsidi Petrol (PSP) bakal memberi manfaat kepada 2.83 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH)
Program Subsidi Petrol (PSP) bakal memberi manfaat kepada 2.83 juta penerima Bantuan Sara Hidup (BSH)

Bagi kategori motosikal yang layak ialah motosikal 150cc dan ke bawah dan motosikal melebihi 150cc yang berusia tujuh tahun dan ke atas.

Kadar subsidi ialah RM30 sebulan bagi kereta dan RM12 sebulan bagi motosikal membabitkan seramai 2.86 juta penerima.

Harga petrol RON95 dan diesel akan diapungkan dan diselaraskan secara beransur-ansur berdasarkan mekanisme APM secara berperingkat.

Program subsidi petrol ini akan menyalurkan bantuan tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun penerima setiap empat bulan sekali, membabitkan tanggungan subsidi sebanyak RM65.4 juta sebulan.

Untuk penduduk Sabah, Sarawak dan Labuan harga petrol RON95 kekal RM2.08, sekali gus tiada keperluan menerima PSP.

Prinsip bantuan hendak disampaikan oleh kerajaan ialah melalui pengagihan semula subsidi yang saksama dan penggubalan dasar berpandukan data yang diperoleh daripada data asas BSH dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagi mereka bukan penerima BSH dan termasuk dalam kategori B40 pula, program KAD95 akan dilaksanakan secara berperingkat pada suku pertama tahun 2020.

Penerima program KAD95 ini akan menikmati subsidi petrol sebanyak 30 sen seliter, terhad kepada 100 liter sebulan (kereta) dan 40 liter sebulan (motor).

Gaji minimum RM1,200 sebulan di bandar-bandar utama

Satu lagi inisiatif penting kerajaan berkuat kuasa pada tahun 2020 ialah kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,200 di bandar-bandar utama di bawah pentadbiran 57 Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran seluruh negara.

Sementara itu, gaji minimum selain daripada wilayah bandar utama dikekalkan pada kadar RM1,100 sebulan.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam satu kenyataan berkata, gaji baharu ini akan berkuat kuasa dengan perintah kenaikan gaji akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Keputusan itu dibuat kerajaan susulan pembentangan Bajet 2020 dan perbincangan Jemaah Menteri dengan pekerja di wilayah bandar utama pastinya dapat diringankan beban dan kos sara hidup tinggi.

Peruntukan RM10 juta promosi dasar Rahmatan Lil Alamin

Melalui Belanjawan 2020 dibentangkan Oktober lalu, peruntukan RM10 juta disalurkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mempromosikan dasar Rahmatan Lil Alamin pada tahun hadapan.

Peruntukan itu turut meliputi pembangunan pemahaman maqasid syariah dalam kalangan umat Islam.

Melalui kluster dakwah dan media, kerajaan menegaskan usaha merakyatkan gagasan Rahmatan Lil Alamin dilakukan dengan penganjuran Karnival Rahmah, Multaqa Ulama Asia Tenggara, Forum Rahmah.

Selain itu, TV Alhijrah mewujudkan saluran YouTube HBIT bagi menyokong aspirasi kerajaan membawa gagasan Rahmah selain melancarkan 10 siri buku konsep Rahmatan Lil Alamin bagi memberi pemahaman kepada masyarakat tentang konsep tersebut.

Usaha mempromosi gagasan Rahmatan Lil Alamin juga diambil dengan melantik 200 duta Rahmah melibatkan individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk selebriti bagi menyantuni masyarakat untuk lebih dekat dengan Islam.

Larangan penggunaan straw plastik konvensional

Bagi menjaga kelestarian alam sekitar, kerajaan turut menguatkuasakan larangan penggunaan straw plastik konvensional berkuatkuasa 1 Januari 2020.

Larangan itu tidak membabitkan orang ramai sebaliknya dikuatkuasakan kepada peniaga dan pengusaha kedai yang mempunyai lesen perniagaan.

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF

Penguatkuasaan larangan itu akan ditujukan kepada peniaga dan pengusaha kedai makan yang menjadi pemegang lesen perniagaan dan bukan terhadap rakyat.

Pada masa sama, straw yang bukan daripada jenis plastik konvensional akan turut disediakan sebagai alternatif.

Kerajaan Sarawak tawar pemberian air percuma

Kerajaan Sarawak akan memberi subsidi kos bekalan air dan elektrik kepada rakyat negeri itu bermula tahun 2020 dalam usahanya menyediakan kemudahan asas adil untuk semua isi rumah.

Program air percuma itu akan membantu mengurangkan beban kewangan rakyat, terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah, B40, yang memerlukan bantuan paling banyak.

Ia juga memberi manfaat kepada kira-kira 600,000 isi rumah dengan akaun domestik di seluruh Sarawak yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM40 juta setahun.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!