BMS 2023 catat lebih RM220 juta deposit simpanan SSPN

Norliza Abdul Rahim
Norliza Abdul Rahim
A
A
A

SHAH ALAM - Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) mencatatkan jumlah deposit sebanyak RM228.8 juta atau 104 peratus berbanding sasaran awal RM220 juta sepanjang Oktober lalu sempena Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pencapaian tersebut jelas menunjukkan masyarakat Malaysia mempunyai tahap literasi kewangan baik dan kesedaran untuk membuat penabungan demi masa depan pendidikan tinggi anak-anak.

Menurutnya, strategi yang dirangka mendapat sokongan padu daripada masyarakat bagi melahirkan generasi cakna dengan pengurusan kewangan untuk pendidikan.

“Penganjuran BMS 2023 ini jelas menunjukkan bahawa PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa berusaha memacu perancangan kewangan jangka masa panjang untuk tujuan pendidikan.

“Hal ini membuktikan ibu bapa semakin cakna dengan pengurusan kewangan untuk pendidikan tinggi anak-anak dalam melahirkan generasi modal insan yang berkualiti tinggi.

“Kekal menjadi superhero sepanjang masa untuk anak-anak dengan membuat perancangan kewangan dari awal bagi memastikan mereka mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Norliza berkata, pelbagai keistimewaan dan manfaat yang bakal dinikmati oleh pendeposit seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit dan dividen yang kompetitif.

Selain itu, katanya, terdapat juga Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin Kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya lagi, pendidikan memainkan peranan penting untuk melahirkan modal insan yang berguna serta membantu menyumbang kepada kemajuan pembangunan ekonomi negara.

“PTPTN mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh masyarakat Malaysia di atas komitmen dan usaha yang ditunjukkan dalam membudayakan sikap menabung dengan memilih Simpan SSPN sebagai instrumen tabungan terbaik.

“Kami akan terus meningkatkan kesedaran masyarakat untuk menabung bagi mengurangkan kebergantungan ibu bapa kepada pinjaman pendidikan dan usaha ini akan disokong semua pihak untuk merealisasikan visi PTPTN sebagai Peneraju Tabung Pendidikan Tinggi Utama Negara,” ujarnya.