X

Kindly register in order to view this article
!

Profesional, berpelajaran tinggi sasaran utama

Gambar hiasan. Gambar kecil: Baharudin
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan Macau Scam atau jenayah penipuan melibatkan kewangan dilihat semakin rancak apabila mereka kini bukan saja menyasarkan golongan 'biasa-biasa' seperti suri rumah sebagai mangsa tetapi semakin aktif menjadikan golongan profesional dan berpelajaran tinggi sebagai sasaran utama mereka.

Golongan tersebut seolah-olah menjadi sasaran mudah buat mereka walaupun dikategorikan sebagai individu yang pastinya lebih arif tentang maklumat penipuan seperti itu tetapi masih boleh terpedaya dan percaya bulat-bulat tanpa usul periksa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kegiatan Macau Scam kebanyakannya melibatkan panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), mahkamah, Bank Negara Malaysia (BNM) atau agensi-agensi lain.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan suspek pula terdiri daripada pelbagai bentuk antaranya penipuan pinjaman bank, penggunaan kad kredit, penculikan dan tebusan, pembebasan tahanan, saman PDRM dan mahkamah, hadiah cabutan bertuah, pakej pelancongan serta banyak lagi.

Menurutnya, beberapa senario penipuan yang sering dilaksanakan iaitu scammer itu akan memperdaya mangsa dengan menyamar sebagai pegawai bank dan pegawai polis.

Katanya, suspek akan memberitahu mangsa kononnya membuat pinjaman serta terlibat dengan pengubahan wang haram yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa membuat bayaran melalui pindahan wang dengan menggunakan perbankan internet sekali gus menyebabkan kerugian.

"Akhirnya mangsa panik sehingga mendorong mereka mendedahkan segala maklumat bank kepada suspek kononnya untuk siasatan. Selepas itu, mereka menyedari wang dalam akaun bank berkurang.

"Senario kedua, suspek menyamar sebagai pegawai SPRM dan hakim mahkamah mengatakan mangsa terlibat kegiatan jenayah yang tidak wujud dan mendorongnya membuat bayaran melalui pindahan wang menggunakan perbankan internet untuk melepaskan diri.

"Seterusnya, taktik lain digunakan suspek ialah dengan menyamar sebagai pegawai kastam atau pegawai polis mengatakan mangsa mempunyai hutang bayaran GST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang tidak wujud serta waran tangkap sehingga mendorong mangsa untuk membuat bayaran dengan menggunakan perbankan internet," katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Tiga kes baru di Shah Alam

Baharudin berkata, terbaru di kawasan pentadbirannya, beliau menerima laporan daripada seorang pesara di Kota Kemuning pada 23 Disember lalu yang kerugian sebanyak RM749,938 kononnya mempunyai satu kes mahkamah membabitkan kesalahan trafik iaitu langgar lari dan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Selain itu katanya, beliau menerima dua lagi laporan kes penipuan Macau Scam pada 19 November lalu membabitkan seorang pesara kerajaan dari Seksyen 9 yang kerugian sebanyak RM 504,676.60, manakala satu lagi kes di Sri Muda juga melibatkan pesara dengan kerugian berjumlah RM150,000.

"Taktik digunakan ke atas pesara di Seksyen 9 adalah mangsa dihubungi oleh seorang lelaki daripada Pejabat Pos Malaysia dan kononnya mempunyai kes jenayah dan perlu membayar wang tersebut bagi mengelakkan ditahan.

"Untuk kes di Sri Muda, mangsa dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai Telekom dan pegawai polis yang mendakwa kononnya dia mempunyai tunggakan kad kredit dan diarahkan untuk membuat pembayaran ke dalam akaun bank milik individu bagi menyelesaikan kes tersebut," katanya.

Shah Alam catat peningkatan 57 peratus berbanding 2018

Bagi tempoh Januari sehingga November 2019, jenayah penipuan Macau Scam di Shah Alam mencatatkan peningkatan kes sebanyak 57 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Baharudin berkata, ia merupakan peningkatan sebanyak sembilan kes bagi tempoh sama dan statistik jenayah Macau Scam juga mengambil kira aspek kerugian yang dialami oleh mangsa-mangsa.

"Hasil laporan statistik juga menunjukkan penurunan nilai kerugian dari RM3.9 juta pada tahun 2018 kepada RM2 juta dalam tempoh kajian yang sama pada tahun 2019.

"Penurunan nilai kerugian adalah lebih kurang RM1.9 juta bersamaan penurunan 32.20 peratus. Ini menunjukkan walaupun Macau scam masih mempunyai mangsa-mangsa di Shah Alam, Selangor tetapi terdapat rakyat yang sedar dan mengetahui berkenaan segala modus operandi serta taktik helah penipuan Macau Scam ini," katanya.

Dalam pada itu, Baharudin turut menasihatkan masyarakat untuk mengambil langkah-langkah pencegahan dengan tidak mudah terpedaya jika dihubungi individu yang mendakwa dari mana-mana organisasi, sebaliknya buat semakan dengan menghubungi organisasi terlibat bagi menyemak kesahihan perkara tersebut.

"Cuba elakkan diri daripada menjadi mangsa dengan menghentikan serta merta panggilan telefon yang mencurigakan dan buat laporan polis jika tertipu atau cuba diperdaya.

"Namun, tidak mustahil jika selepas ini ada cara lain yang akan digunakan kerana dengan perkembangan teknologi, sindiket ini juga semakin kreatif mempelbagaikan teknik untuk menjerat dan menipu mangsa," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!