SESB terbuka jalin kerjasama laksana CSR sedia tenaga solar sekolah pedalaman

Madius ketika ditemui pemberita pada majlis Malam Apresiasi SESB 2023 di Kota Kinabalu.
Madius ketika ditemui pemberita pada majlis Malam Apresiasi SESB 2023 di Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk menyediakan tenaga solar bagi sekolah yang memerlukan bekalan elektrik di kawasan pedalaman di negeri ini.

Bagaimanapun, Pengerusi SESB, Datuk Seri Madius Tangau berkata, perbincangan perlu diadakan dengan pihak berkaitan untuk menjalankan program CSR tersebut.

"SESB memang ada program CSR, jadi kita mengalu-alukan dan perlu perbincangan tetapi ini sebagai satu CSR saja, bukan tanggungjawab utama kerana SESB merupakan sebuah syarikat pembekal elektrik.

"Kita tahu juga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ada program untuk membuat solar dan kalau ada mana-mana pihak yang berhasrat untuk perkara itu, kita boleh berbincang," katanya kepada pemberita pada majlis Malam Apresiasi SESB 2023 di sini pada malam Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keperluan SESB menyalurkan bantuan solar kepada sekolah di pedalaman seperti Sekolah Kebangsaan (SK) Saliliran di Pensiangan yang mengalami masalah tiada bekalan elektrik seperti yang dilaporkan Sinar Harian baru-baru ini.

Dalam laporan itu, seramai 23 murid di SK Saliliran menjalani proses pembelajaran dan pengajaran dalam keadaan kurang selesa disebabkan tiada bekalan elektrik di kawasan tersebut.

Ini disebabkan lokasi SK Saliliran yang terletak jauh di pedalaman dan sehingga kini masih tiada akses jalan perhubungan untuk ke perkampungan tersebut.

Untuk rekod, sekurang-kurangnya memerlukan tiga jam perjalanan di laluan tidak berturap dengan menggunakan pacuan empat roda, tiga jam melalui sungai dengan menaiki perahu dan antara empat ke lima jam berjalan kaki meredah hutan belantara untuk sampai ke Kampung Saliliran.

Artikel Berkaitan: