KKM keluarkan kompaun kesalahan merokok RM1.45 juta

Foto hiasan. Gambar kecil: Muhammad Radzi
Foto hiasan. Gambar kecil: Muhammad Radzi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan sejumlah 6,290 kompaun bernilai RM1.45 juta berkait kesalahan merokok di kawasan larangan sepanjang bulan lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, tindakan itu diambil mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

"Melalui penguatkuasaan PPKHT 2004 itu, sejumlah 10,051 notis kesalahan dikeluarkan daripada 22,361 premis yang dilawati," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dr Muhammad Radzi memberitahu, KKM turut mengeluarkan sejumlah 3,453 kompaun bernilai RM1,726,500 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

Menurutnya, purata setiap kompaun yang dikenakan mengikut akta pencegahan dan kawalan penyakit demam denggi itu bernilai RM500.

"Daripada jumlah kompaun berkenaan, sejumlah 385 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 137 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM262,160," ujarnya.

Dr Muhammad Radzi berkata, KKM juga mengarahkan sebanyak 163 premis ditutup sementara di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Jumlah premis yang dikenakan perintah penutupan sementara ini adalah 2.6 peratus daripada keseluruhan 6,273 premis makanan yang diperiksa menerusi penguatkuasaan akta terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan penutupan sementara premis makanan yang dikuatkuasakan KKM ini adalah sebagai suatu langkah menjamin kebersihan premis serta makanan yang dihidangkan," tambah beliau.

Beliau menegaskan, KKM mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam.

"Tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil oleh KKM. Orang ramai serta semua pihak adalah diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan pelaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum," jelasnya.