Afghanistan kecam Israel, sifatkan sebagai penjenayah perang

Tentera Israel menjalankan operasi ketenteraan di barat Bandar Gaza. - Foto Xinhua
Tentera Israel menjalankan operasi ketenteraan di barat Bandar Gaza. - Foto Xinhua
A
A
A

NEW DELHI - Afghanistan mengecam serangan berterusan Israel di Palestin yang disifatkan sebagai "kekejaman yang tidak pernah berlaku sebelum ini" serta melabel pentadbiran Israel sebagai penjenayah perang.

"Di sebalik semua norma manusia, kini sudah lebih 40 hari tentera Zionis melakukan serangan di Semenanjung Gaza dan setiap hari mereka terus melanggar semua peraturan perang," kata kerajaan sementara Afghanistan dalam satu kenyataan pada Khamis.

Merujuk kepada serangan berterusan ke atas hospital termasuk kompleks perubatan Al Shifa, Afghanistan meminta negara-negara Arab dan Islam untuk bertindak balas menerusi langkah "berkesan dan bermakna".

Kenyataan itu mengecam pendirian tidak jujur pelbagai kerajaan serta organisasi Barat ketika jenayah kemanusiaan dilakukan oleh Israel di Palestin.

Sementara itu, Pakistan menggesa siasatan berhubung serangan tentera Israel ke atas kemudahan perubatan Gaza dan menuntut gencatan senjata segera demi melindungi nyawa dan infrastruktur awam.

"Pakistan mengutuk sekeras-kerasnya pengeboman oleh Pasukan Pendudukan Israel di sekitar hospital medan Jordan di Gaza, hingga mengakibatkan kecederaan kepada tujuh kakitangannya.

"Serangan tidak berperikemanusiaan ini adalah yang terbaharu dalam siri serangan ke atas hospital dan kemudahan perubatan di Gaza yang merupakan jenayah perang termasuk melanggar undang-undang antarabangsa secara terang-terangan," menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan. - Bernama

Artikel Berkaitan: