'Kematian yang dicemburui'

Gambar kenangan arwah Ismail dan Rohani ketika menunaikan umrah dan sebelum meninggal dunia.
Gambar kenangan arwah Ismail dan Rohani ketika menunaikan umrah dan sebelum meninggal dunia.
A
A
A

KOTA BHARU - Kematian pasangan suami isteri yang mengerjakan umrah ternyata dicemburui ramai pasangan lain selepas berita mereka tular di media sosial.

Ismail Latif, 66, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 11 pagi waktu tempatan Isnin lalu manakala isterinya yang berusia 60 tahun, Rohani Dollah meninggal dunia pada Rabu kira-kira jam 2 petang waktu tempatan.

Pasangan dari Kota Bharu itu dikatakan tidak pernah berenggang dan sentiasa bersama sepanjang selepas menunaikan umrah buat kali pertama itu.

Anak sulung pasangan itu, Nor Afizah, 41, berkata, berita mengejut itu dimaklumkan oleh sepupunya, Noranito Taib, 50, yang sama-sama mengerjakan umrah bersama ibu bapanya.

“Kami dimaklumkan ayah demam sejak lima hari lalu manakala ibu pula mengalami darah tinggi. Mungkin ibu terkejut dengan pemergian ayah. Selama ini pun mereka pergi ke mana sahaja bersama-sama dan jarang berpisah,” katanya ketika ditemui di Kampung Tunjong hari ini.

Anak arwah menunjukkan gambar ibu bapa mereka yang menjadi kenangan untuk keluarga itu.
Anak arwah menunjukkan gambar ibu bapa mereka yang menjadi kenangan untuk keluarga itu.

Sebelum ini, berita kematian tersebut tular di media sosial dan menerima ucapan takziah daripada nitezen dan kebanyakannya menyifatkan sebagai kematian yang dicemburui.

Nor Afizah berkata, kesemua sembilan adiknya serta saudara-mara reda kerana menganggap pengakhiran hidup yang baik buat ibu bapa mereka apatah lagi menjadi idaman umat Islam untuk meninggal dunia di Tanah Suci.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum berangkat ke pada 14 Disember lalu, ayah pergi dalam keadaan sihat dan ayah tidak menghidap sebarang penyakit,” katanya.

Mengimbau pesanan terakhir sebelum berangkat ke tanah suci, Nor Afizah berkata, ibu bapanya mengingatkan supaya anak-anaknya menjaga diri dan juga rumah mereka.

“Masih terbayang ma dan ayah mengucapkan selamat tinggal kepada jemaah masjid dan bagi kami itu perkara biasa sebagai tanda berpisah sementara untuk ke Tanah Suci,” katanya.