'Tiada beban tekanan berganda'

Zii Jia tetap komited untuk memburu keputusan positif pada Sukan Olimpik Paris tahun depan. - Foto Agensi (Gambar kecil: Rizal)
Zii Jia tetap komited untuk memburu keputusan positif pada Sukan Olimpik Paris tahun depan. - Foto Agensi (Gambar kecil: Rizal)
A
A
A

KEPUTUSAN pemain lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk tidak berada dalam program Road To Gold (RTG) wajar dihormati oleh semua pihak.

Penganalisis Sukan, Rizal Hashim berkata, keputusan itu menunjukkan Zii Jia mahu berdikari dengan menaruh kepercayaan kepada sistem sokongannya termasuk menerusi bimbingan jurulatih, Wong Tat Meng.

Malah, beliau berkata, Zii Jia turut dibantu dengan kehadiran Liew Daren, Lim Joe Heang selaku penganalisis prestasi serta penasihat fisioterapi, Sandra Fiedler.

“Jika kita kaji kelebihan dalam RTG, antaranya elaun tambahan, khidmat sokongan sains sukan berfokus serta keistimewaan khas untuk atlet elit disediakan, namun elemen itu sudah dimiliki Zii Jia dan Team LZJ.

“Keputusan ini boleh dilihat daripada dua sudut. Memandangkan Zii Jia di luar program (RTG), dia tidak akan dibebani dengan tekanan berganda.

“Dari satu lagi sudut, mungkin ada beranggapan bahawa dia istimewa daripada atlet lain,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Rizal berkata, Zii Jia kini boleh fokus kepada peningkatkan prestasi dalam misi memburu pingat emas pertama pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel Berkaitan:

Laporan Sukan Sinar pada 15 November.
Laporan Sukan Sinar pada 15 November.

Beliau memberitahu, andai keputusan sebaliknya berlaku, itu risiko yang Zii Jia perlu tanggung disebabkan pemain ranking ke-11 dunia itu memiliki pasukannya sendiri.

“Secara peribadi, saya lihat RTG sesuai untuk atlet daripada terjun dan lumba basikal yang tidak mempunyai khidmat sokongan khas bagi meningkatkan prestasi mereka,” jelasnya.

Jawatankuasa RTG pada Selasa mengesahkan Zii Jia tidak akan terus berada dalam RTG, sekali gus juara Seluruh England dan Asia itu tidak lagi menerima khidmat sokongan daripada program elit berkenaan.

Keputusan tersebut dibuat selepas membuat pertimbangan sewajarnya dan rujukan dalaman menyaksikan Zii Jia tidak memerlukan khidmat sokongan daripada RTG.

Namun, Team LZJ memberi jaminan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan pemegang taruh seperti Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara menuju ke Sukan Olimpik Paris tahun depan.