Zii Jia tak perlu khidmat sokongan program RTG

Zii Jia tidak akan berada lagi dalam program RTG.
Zii Jia tidak akan berada lagi dalam program RTG.
A
A
A

JAWATANKUASA Road To Gold (RTG) mengesahkan pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia tidak akan terus berada dalam program Road To Gold (RTG) yang bertujuan memburu pingat emas pertama pada Sukan Olimpik.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Sekretariat RTG pada Selasa selepas mengadakan perbincangan secara dalam talian bersama Team Lee Zii Jia (Team LZJ) bagi membincangkan perkara tersebut.

Justeru, keputusan tersebut menyaksikan Zii Jia yang juga juara Seluruh England dan Asia itu tidak lagi menerima khidmat sokongan daripada program elit berkenaan.

“Sekretariat RTG hari ini (Selasa) sudah berjumpa dengan Team LZJ secara dalam talian dan keputusan sudah dicapai bahawa Zii Jia tidak akan bersama dengan program RTG. Dalam pertemuan itu, Zii Jia diwakili jurulatih, Wong Tat Meng dan Liew Daren serta pengurus, Lee Zii Yii.

“Mereka menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat selepas membuat pertimbangan sewajarnya dan rujukan dalaman menyaksikan Zii Jia tidak memerlukan khidmat sokongan daripada RTG.

“Bagaimanapun, Team LZJ memberi jaminan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan pemegang taruh seperti Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara menuju ke Sukan Olimpik Paris tahun depan,” menurut kenyataan Sekretariat RTG.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengesahkan Zii Jia yang juga pemain nombor 11 dunia memutuskan untuk tidak menandatangani persetujuan komitmen (LOC) bagi menyertai RTG.

Menurut Hannah yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa RTG, pihaknya tidak boleh memaksa mana-mana atlet untuk bersetuju bagi menyertai program RTG.

Artikel Berkaitan: