'Orang tiada akal buang lampin atas kerusi kedai makan'

Perkongsian Noor Akmar kini tular di media sosial
Perkongsian Noor Akmar kini tular di media sosial
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan seorang pelanggan yang membuang lampin pakai buang bayi di sebuah restoran di sini, semalam mengundang kecaman warga maya dan dianggap tidak bertamadun.

Perkara itu dikongsi pemilik restoran tersebut, Noor Akmar melalui Facebook yang kecewa dengan tindakan pelanggannya meninggalkan lampin bayi tersebut atas kerusi kanak-kanak.

"Macam-macam ragam kan? Air milo tabur tumpah tidak mengapa kita mopkan. Nasi goreng sepah-sepah atas lantai pun tidak mengapa kita sapukan.

"Pampers? (lampin pakai buang bayi), berat pula itu kalau ditimbang pampersnya. Ini contoh pelanggan tidak selalunya betul," luah Noor Akmar di Facebook.

Sikap tidak bertanggungjawab tersebut dilihat sebagai satu pencemaran dan menjijikkan kerana kerusi itu disediakan untuk kemudahan pelanggan.

Perkongsian Noor Akmar kini tular di media sosial dan warganet kesal dengan tindakan individu yang meninggalkan lampin pakai buang tersebut.

"Tiada adab ke apa ini. Sepatutnya pampers perlu dibuang ke dalam tong sampah dan bukannya tinggalkan pampers di kerusi. Kalau rasa tiada tong sampah pun boleh bawa masuk ke kereta dulu buang kemudian," tulis Idham Ramdan di Facebook.

Faqiudin Yaakob pula menulis di ruangan komen, "Apa benda ini, alamak tak senonohnya. Ada orang bersikap macam ini ya. Ini membuktikan mentaliti orang seperti ini letaknya di kaki dan bukan otaknya."

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, terdapat juga segelintir warganet yang berkongsi pengalaman mereka yang seakan-akan kejadian tersebut.

"Aku pernah kena masa Hari Raya Haji yang lepas. Memang penuh habis-habis kerja nak kemas tempat kerja. Sapu-sapu di tepi longkang jumpa pampers orang buang begitu sahaja. Dah jadi mak ayah budak pun masih tiada akal nak buang di tempat betul," kata Rahmaniah Abdul.

Fadzhil Mohamad menulis, "Hahahaha, malas nak cakap jenis bangsa seperti ini. Kalau bercakap kite balik salah. Silap-silap kita pula yang depa tular. Inilah mentaliti kelas bawahan."

Antara reaksi netizen yang mengecam serta kesal dengan tindakan individu yang meninggalkan lampin tersebut di atas kerusi.
Antara reaksi netizen yang mengecam serta kesal dengan tindakan individu yang meninggalkan lampin tersebut di atas kerusi.