Ringgit ditutup tinggi, data IHP AS rendah lemahkan dolar AS

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini apabila ia susut selepas data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) yang lebih rendah mengukuhkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) tidak menaikkan lagi kadar faedah, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6695/6755 berbanding dolar AS daripada 4.7165/7210 pada penutup Selasa.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit naik setinggi RM4.6565 berbanding dolar AS sebelum ditutup pada RM4.6695 hari ini.

Beliau berkata, mata wang tempatan itu kekal menghampiri paras sokongan segeranya pada RM4.6611.

"Apa yang berlaku selepas ini, paras sokongan seterusnya ialah pada RM4.5778.

"Kami percaya terdapat ruang untuk kenaikan ringgit selanjutnya.

"Bagaimanapun, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada 12-13 Disember akan dipantau dengan teliti memandangkan pasaran sedang mencari lebih banyak petunjuk mengenai hala tuju kadar faedah pada masa depan," katanya kepada Bernama.

Beliau menegaskan setakat ini, hasil bagi sekuriti bertarikh pendek seperti Perbendaharaan AS tiga bulan dan dua tahun adalah lebih tinggi masing-masing pada 5.37 peratus dan 4.84 peratus berbanding 4.44 peratus untuk Perbendaharaan 10 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Pasaran bon masih tidak yakin bahawa Fed akan mengubah keputusan dalam masa terdekat kerana kadar jangka pendek sentiasa mencerminkan tindakan bank pusat. Oleh itu FOMC pada Disember akan menjadi peristiwa penting bagi mengukur kadar faedah AS bagi 2024," tambahnya.​

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu naik berbanding yen Jepun kepada 3.1049/1091 daripada 3.1091/1123 pada penutup Selasa, rendah berbanding Euro kepada 5.0669/0734 daripada 5.0570/0619 sebelum ini, dan jatuh berbanding pound Britain kepada 5.8187/8261 daripada 5.8032/8087.

Ringgit juga ditutup bercampur-campur berbanding mata wang Asean lain.

Ia menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.4615/4662 daripada 3.4675/4713 pada Selasa dan lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 8.36/8.38 daripada 8.41/8.42 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit melemah berbanding baht Thailand kepada 13.1713/1935 daripada 13.0760/0946 semalam dan merosot berbanding rupiah Indonesia kepada 300.5/301.1 daripada 300.4/300.9. - Bernama