GPMS gesa Dong Zong batalkan kongres

Awie (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil pelajar sambil disaksikan Amirul Syahir (dua dari kanan) pada program bersama GPMS Kuala Kedah dan Konvoi Konsert Romantika Awie di Star Parade.
Awie (tiga dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada wakil pelajar sambil disaksikan Amirul Syahir (dua dari kanan) pada program bersama GPMS Kuala Kedah dan Konvoi Konsert Romantika Awie di Star Parade.
A
A
A

ALOR SETAR - Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPMS) Kedah menggesa Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) membatalkan kongres wakil pertubuhan Cina yang dirancang Sabtu ini, bagi mengelak wujud situasi tegang antara kaum.

Naib Pengerusi 1, Amirul Syahir Musa berkata, provokasi bersifat perkauman harus dielak agar tidak mencetuskan lebih banyak salah faham berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, isu seumpama tidak wajar digembar-gemburkan bagi menaikkan kemarahan mana-mana pihak sebaliknya harus ditangani secara harmoni.

“Jangan mulakan kacau bilau dalam negara hingga jejas keharmonian kaum yang selama ini kita kecapi. Jika Dong Zong masih berdegil dan meneruskan kongres, kita harap pihak berkuasa ambil tindakan tegas terhadap kepimpinan persatuan itu agar mereka lebih ‘mendengar kata’ dan patuhi apa termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bantahan Dong Zong tindakan tidak sopan: KGMMB

Dong Zong perlu diharamkan: Najmil

Amirul Syahir berkata, kongres terbabit tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan menimbulkan persepsi negatif kalangan masyarakat pelbagai kaum.

“Dong Zong harus fahami matlamat Kementerian Pendidikan yang mahu memperkenalkan tulisan jawi di sekolah vernakular dan hormati hak berdasarkan Perlembagaan. Penaung GPMS, Tun Dr Mahathir Mohamad turut nyatakan pertubuhan itu rasis, diharap kerajaan pantau dan bertindak tegas elak wujud lebih banyak masalah termasuk kebimbangan tragedi 13 Mei berulang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, rakyat tidak mahu tercetus sebarang insiden perkauman pada tahun 2020 sebaliknya mahu menyuburkan keharmonian kaum dan saling hormat menghormati.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mujahid Yusof menggesa penganjuran Kongres Organisasi Cina anjuran Dong Jiao Zong, untuk membantah pengajaran tulisan jawi di sekolah vernakular ditangguhkan bagi memberi ruang kepada pendekatan lebih harmoni seperti rundingan atau dialog.

Pada 22 Ogos, GPMS cawangan Kuala Kedah diketuai Amirul Syahir yang juga Yang Dipertuanya membuat laporan polis terhadap Dong Zong atas isu terbabit kerana pertubuhan itu jelas menghasut, membudayakan persepsi negatif dan mengganggu gugat keharmonian kaum di negara ini.

Terdahulu, Amirul Syahir bersama penyanyi, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie menyampaikan sumbangan kepada asnaf dan pelajar ketika menjayakan program anjuran GPMS cawangan Kuala Kedah dengan kerjasama Konvoi Konsert Romantika Awie di Star Parade.