Doktor cuai atas kematian isteri pemain hoki negara - Mahkamah

No Image Caption
A
A
A
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan seorang doktor hospital swasta membayar ganti rugi berjumlah RM335,000 kepada bekas pemain hoki kebangsaan dalam saman cuai bagi pihak mendiang isterinya yang meninggal dunia 10 bulan selepas mengalami strok pangkal otak.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman difailkan Avtar Singh terhadap doktor berkenaan yang memeriksa, mendiagnos dan merawat isterinya, Salinder Kaur.

Dalam penghakiman bertulis dikeluarkan hari ini, mahkamah membenarkan ganti rugi khas sebanyak RM234,624.09 serta ganti rugi am RM100,000 kepada plaintif (Avtar) dan kos RM40,000.

"Saya berpendapat bahawa jumlah RM100,000 itu wajar memandangkan mendiang terlantar di atas katil selama hampir 10 bulan sebelum meninggal dunia akibat strok pangkal otak," katanya dalam penghakiman 33 muka surat tersebut.

Raja Ahmad Mohzanuddin turut menyatakan bahawa doktor tersebut telah mengakui bertanggungjawab terhadap tuntutan plaintif.

"Adalah jelas daripada pindaan semula kenyataan tuntutan bahawa doktor berkenaan telah mengakui setiap aspek tuntutan kecuaian yang dibuat terhadapnya.

"Apabila sesuatu kejadian berlaku selepas hospital telah mengambil langkah penjagaan yang wajar seperti yang saya temui dalam kes ini, liabiliti seharusnya semata-mata terletak pada doktor berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, Raja Ahmad Mohzanuddin menolak tuntutan plaintif terhadap hospital swasta berkenaan di Kelana Jaya itu dengan kos RM30,000 selepas memerintahkan hospital berkenaan tidak bertanggungjawab.

Avtar, 68, merupakan pemain skuad negara yang beraksi dalam Sukan Olimpik 1976 dan 1980 serta turut serta dalam dua Piala Dunia pada tahun 1978 dan 1981.
Artikel Berkaitan:


"Akibat kejadian tragis menimpa isterinya (Salinder), beliau terpaksa melepaskan semua kepentingannya termasuk sebagai jurulatih untuk memberi sepenuh masanya bagi menjaga isterinya."

Menurut pernyataan tuntutan difailkan pada 2019, Salinder dibawa ke jabatan kecemasan hospital berkenaan pada 21 Ogos 2016 selepas mengalami sakit yang teruk dan kebas pada lengan kiri.

Selepas itu, pesakit berkenaan dirawat di hospital tersebut.

Hakim berkenaan berkata ada dakwaan bahawa doktor tersebut menjalankan tugas di luar bidang kelayakannya dan gagal mendiagnos dengan betul kerana hospital berkenaan tidak mempunyai peralatan perubatan yang sewajar.

Disebabkan itu, Salinder dipindahkan ke hospital lain.

Memandangkan keadaannya tidak beransur pulih, Salinder yang ketika itu lumpuh dibawa pulang ke rumah sebelum meninggal dunia pada 19 Jun 2017. - Bernama