PDRM, SPRM sedia siasat laporan wujud unsur habuan, ugutan

Saifuddin - Foto Bernama
Saifuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menjalankan siasatan secara profesional terhadap laporan kononnya terdapat unsur umpan, habuan dan ugutan berkaitan sokongan beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memberi jaminan bersedia melakukan yang sama dalam hal berkenaan.

"Bila lapor, berikan semua apa yang disebutkan sebagai bukti.

"Kalau dibuat bawah ugutan itu adalah kod Seksyen 506 Kanun Keseksaan manakala Seksyen 16 dan Seksyen 17 Akta SPRM itu berkaitan habuan dan sogokan.

"Dalam aduan itu sertakan semua elemen yang dikatakan kepada kedua-dua agensi," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memberi maklum balas kepada celahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) bahawa Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu) telah membuat satu laporan polis berhubung perkara itu tengah malam tadi.

Sebelum ini, empat ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) menyatakan pendirian menyokong Anwar menyebabkan timbul dakwaan sokongan itu ada unsur rasuah. - Bernama

Artikel Berkaitan: