100 stesen bas baharu, laluan pejalan kaki dinaik taraf tahun depan

Anthony Loke - Foto: Bernama
Anthony Loke - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak tujuh Majlis Perbandaran Tempatan di Lembah Klang telah diarah untuk mengenal pasti stesen bas dan laluan pejalan kaki ke stesen kereta api yang perlu dinaik taraf segera tahun depan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Belaiu berkata, arahan itu dibuat pada mesyuarat kabinet lepas, dengan semua pihak bersetuju bahawa isu berkaitan pengangkutan awam termasuk keselamatan pengguna perlu diberi perhatian sepenuhnya.

"Saya maklumkan kepada kabinet bahawa jika kita mahu menangani kesesakan lalu lintas dan mahu orang awam menggunakan pengangkutan awam, isu-isu ini (keselamatan dan keselesaan pengguna) mesti ditangani dan jawatankuasa kabinet bersetuju mengenainya.

"Jadi, anda boleh menjangkakan sekurang-kurangnya 100 stesen bas baharu atau lebih baik akan diubah suai atau dibina tahun depan, bersama laluan pejalan kaki ke semua stesen kereta api.

"Dengan ini, saya boleh menjangkakan akan terdapat integrasi pengangkutan awam yang lebih baik di Lembah Klang dalam tempoh beberapa bulan dan tahun akan datang, supaya kita boleh menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam,” katanya pada perasmian simposium Keselamatan Wanita dalam Industri Transit dan Pengangkutan di Bandar Sunway pada Selasa.

Anthony Loke berkata, Kementerian Pengangkutan sentiasa mengutamakan keselesaan dan keselamatan pengguna yang menaiki pengangkutan awam selain berusaha melaksana dan menyiapkan projek infrastruktur lain.

Beliau berkata, kementeriannya juga menerima banyak maklum balas daripada pengguna pengangkutan awam khususnya wanita mengenai keselamatan mereka, bukan sahaja di koc kereta api serta laluan pejalan kaki ke stesen, yang kadangkala berbahaya kerana keadaan yang gelap.

"Penumpang harian pengguna kereta api di Lembah Klang kini telah meningkat kira-kira 800,000 orang manakala perkhidmatan bas sebanyak 250,000 pengguna, dan ini adalah sesuatu yang perlu kita terus galakkan untuk mengurangkan kesesakan semasa, serta sebahagian daripada strategik kita untuk menangani isu rasionalisasi subsidi,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: