Rasa simpati, suri rumah tapau bekal untuk rakan anak kematian ibu

Siti Hawa bersama keluarganya. Gambar kanan: Status yang dimuat naik Siti Hawa baru-baru ini.
Siti Hawa bersama keluarganya. Gambar kanan: Status yang dimuat naik Siti Hawa baru-baru ini.
A
A
A

MELAKA - Tersentuh dengan nasib rakan sekelas anaknya yang kehilangan ibu membuatkan seorang suri rumah dari Bukit Rambai di sini, rasa terpanggil menyediakan dua bekas makanan untuk bekalan kedua-duanya di sekolah.

Namun Siti Hawa Zainudin, 38, tidak menyangka perkongsiannya mengenai perkara itu di media sosial tular sehingga ramai yang mendoakannya agar dimurahkan rezeki.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, niatnya sekadar untuk menzahirkan rasa simpati selepas mengetahui ibu kepada rakan anaknya meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang.

Malah menurutnya, niat berkongsi kisah bekal itu bukanlah untuk meriah publisiti namun memberi kesedaran kepada diri sendiri juga orang lain mengenai amalan menyantuni golongan anak yatim yang telah dijanjikan ganjarannya kelak.

"Untuk buat kebaikan tidak semestinya kita perlu bersedekah dengan wang ringgit sahaja.

"Saya mahu terapkan nilai-nilai murni dalam diri anak saya untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang dimiliki sekarang," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Beberapa hari lalu, Siti Hawa memuat naik status turut dikongsi orang ramai serta tular di aplikasi media sosial mengenai dia menyediakan bekal sekolah agama untuk anak dan rakan anaknya yang berusia 11 tahun.

Dia menyediakan dua bekal tersebut setelah mengetahui kanak-kanak yang kematian ibu itu ada kalanya tidak membawa duit belanja ke sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Kadang-kadang anak saya berkongsi makan bekal dengan kawan dia, ada masa saya bagi duit belanja lebih untuk kawan dia sekali," katanya.