Sirul kemungkinan besar gagal dibawa pulang - Razarudin

Razarudin
Razarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkemungkinan besar gagal membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang kini berada di Australia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata, perbezaan peruntukan undang-undang antara Malaysia dan Australia mempengaruhi keadaan itu.

"Usaha membawa pulang bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar akan menghadapi kekangan melibatkan isu perundangan negara berikutan perbezaan hukuman mandatori antara Australia dan Malaysia.

"Namun hukuman mandatori di Malaysia tidak semestinya hukuman bunuh dan ia boleh jadi penjara sepanjang hayat atau penjara 20 tahun," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas dan majlis pemakaian lencana pangkat Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkusaan Trafik (JSPT) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, dekat sini.

Pemangku Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar menyerahkan tugas kepada Pengarah JSPT baharu, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.

Razarudin (tengah) menyaksikan penyerahan tugas Pengarah JSPT daripada Mohd Nasri (kiri) kepada Mohd Azman pada majlis serah terima tugas dan majlis pemakaian lencana pangkat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Selasa.
Razarudin (tengah) menyaksikan penyerahan tugas Pengarah JSPT daripada Mohd Nasri (kiri) kepada Mohd Azman pada majlis serah terima tugas dan majlis pemakaian lencana pangkat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Selasa.

Sirul dibebaskan dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia pada Ahad.

Bekas anggota UTK itu dijatuhkan hukuman mati kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, ekoran perbezaan peruntukan perundangan antara kedua negara, kerajaan Australia juga dilihat tidak akan memberi kerjasama dalam kes Sirul.

Ini kerana katanya, hukuman bunuh ke atas bekas anggota UTK itu masih berkuat kuasa dan telah dijatuhkan oleh mahkamah negara sebelum ini.

Ditanya adakah kerajaan Malaysia akan melakukan sebarang tindakan atau berhubung dengan pihak berkuasa Australia, beliau berkata, perkara itu di bawah kuasa Peguam Negara (AG).

Sirul Azhar
Sirul Azhar

Menurutnya, jika ada tindakan yang akan diambil oleh kerajaan, ia hanya melibatkan AG Malaysia dengan AG Australia.

Sementara itu, ditanya mengenai kes tiga penjawat awam ditahan PDRM berhubung kes culik, beliau berkata, pihak polis tidak berkompromi berhubung perkara itu.

Kata beliau, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pegawai atau anggota PDRM yang terlibat dengan apa sahaja jenayah dan salah laku.

"Sebenarnya, saya sendiri yang telah mengarahkan Ketua Polis Selangor memberi kenyataan berhubung kes culik ini.

"Di sini boleh melihat bahawa kita di PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat dengan jenayah, kes dadah atau mana-mana perbuatan salah laku," ujarnya.