Berbogel di surau plaza tol, dua rakan dipenjara

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Isnin.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Isnin.
A
A
A

BATU PAHAT - Dua rakan masing-masing lelaki dan wanita mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas pertuduhan berbogel di surau plaza tol dekat Yong Peng, Rabu lalu.

Tertuduh, Lok Kah Hui, 25, dan Yap Win Yin, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca bersama dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa di hadapan Majistret Suhaila Shafi'uddin.

Mengikut pertuduhan, Kah Hui yang bekerja sebagai penjaga kebun durian, manakala Win Yin, pekerja kedai makanan haiwan didakwa berbogel sesama sendiri di surau lelaki Plaza Tol Yong Peng pada jam 8.15 pagi, 8 November lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34 kanun sama, penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala Kah Hui diwakili Tan Song Yan.

Win Yin pula diwakili Kamarul Arifin Nordin, dengan kedua-duanya daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Sebelum itu, pihak pendakwaan dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kesalahan serius dilakukan kedua-dua tertuduh.

"Walaupun, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah dan menjimatkan kos mahkamah, ia tidak bermakna pengakuan itu secara automatik boleh meringankan hukuman terhadap mereka.

Artikel Berkaitan:

"Mahkamah perlu mengambil kira kepentingan awam atas perbuatan dilakukan tertuduh iaitu kelucahan melampau dan hukuman perlu dilakukan sebagai pengajaran kepada individu lain," katanya.

Selepas mengambil kira pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh, hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap Kah Hui manakala Win Yin pula selama lima bulan.

Mahkamah juga memutuskan hukuman itu berjalan bermula dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap 8 November lalu.