Malaysia mampu lahirkan ramai pakar EV - Anthony

Anthony (tengah) ketika sidang akhbar selepas menyaksikan HydroGlyder di Yinson GreenTech di Composites Technology City, Batu Berendam, di sini pada Isnin.
Anthony (tengah) ketika sidang akhbar selepas menyaksikan HydroGlyder di Yinson GreenTech di Composites Technology City, Batu Berendam, di sini pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Negara mampu melahirkan lebih ramai pakar dalam sektor pembuatan kenderaan elektrik (EV) bukan sahaja di darat juga pengangkutan laut.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inovasi, kepakaran dan kemahiran kejuruteraan yang dimiliki anak tempatan dapat menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat pengeluar bateri selain pemasangan kenderaan EV di negara ini.

Menurut beliau, kepakaran dan kemahiran itu sejajar dengan komitmen kerajaan memastikan pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ menjelang 2050.

"Potensi yang cukup besar untuk Malaysia perluaskan lagi EV bukan hanya untuk kenderaan darat, tapi juga menggunakan konsep bot elektrik.

"Kita dah ada kepakaran dan kemahiran kejuruteraan untuk membina bot EV oleh anak-anak tempatan bagi memastikan penggunaan bahan bakar yang lebih mampan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan prototaip bot EV, HydroGlyder oleh syarikat Yinson GreenTech di Composites Technology City, Batu Berendam, di sini pada Isnin.

Anthony (enam dari kanan) berdiri di hadapan prototaip bot EV di Batu Berendam, di sini pada Isnin.
Anthony (enam dari kanan) berdiri di hadapan prototaip bot EV di Batu Berendam, di sini pada Isnin.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, meskipun prototaip HydroGlyder yang dihasilkan untuk memenuhi pasaran negara Singapura, namun tidak mustahil akan datang ia boleh dimanfaatkan di negara ini bagi kegunaan syarikat pengoperasian bot atau feri, terutama di pulau-pulau peranginan seperti Langkawi Tioman, Pulau Besar dan Pangkor.

Artikel Berkaitan:

"Akan datang bila bot ni boleh dibina lebih banyak, maka boleh juga kenalkan untuk pasaran Malaysia bagi perkhidmatan feri penumpang.

"Harap ia dapat diperkenalkan untuk pasaran Malaysia bagi menarik anak tempatan menceburi peluang pekerjaan yang ada," katanya lagi.