Lesen fizikal masih ada, boleh mohon di JPJ - Anthony Loke

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

GEORGETOWN - Lesen fizikal masih dikeluarkan dan pemandu kenderaan boleh memohonnya di mana-mana cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) seluruh negara sekiranya memerlukan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, lesen fizikal tidak pernah dihentikan dan ia masih boleh dikeluarkan kepada pemohon.

"Kita bukan menghentikan pemberian lesen fizikal, lesen fizikal masih diberikan kepada pemohon.

"Oleh itu, jika mereka memandu di luar negara yang mana negara itu memerlukan lesen fizikal, mereka boleh mengambil lesen fizikal daripada JPJ semasa mereka memperbaharui lesen memandu masing-masing,'' katanya di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dua lelaki warga tempatan meluahkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa Thailand meskipun sudah mempamerkan lesen memandu digital yang dimiliki mereka.

Menerusi perkongsian di Twitter Acapkay, dia menjelaskan situasi tersebut yang dialami bersama rakannya selepas ditahan ketika menunggang motosikal di sebuah daerah dalam negara terbabit.

Difahamkan, individu warga Malaysia yang memandu di Thailand tidak memerlukan lesen antarabangsa, sebaliknya hanya perlu memiliki lesen sah JPJ.

Februari lalu, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan mengumumkan bahawa Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) persendirian diubah kepada mod paparan digital secara berperingkat.

Bagaimanapun kata Anthony Loke, rakyat Malaysia yang memandu di luar negara, mereka tertakluk kepada undang-undang tempatan negara berkenaan.

"Lesen digital ini diperkenalkan untuk pemandu kenderaan yang mana, mereka boleh membawanya (lesen digital) ketika pemeriksaan penguatkuasa dibuat. Jadi, mereka tidak akan disaman di negara kita.

"Bagaimanapun, jika mereka ke luar negara, sudah tentu mereka tertakluk kepada peraturan dan undang-undang di negara tersebut," katanya.

Tegas beliau, Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai bidang kuasa pelaksanaan lesen memandu di negara luar antaranya Thailand.

"Semua pihak perlu faham bahawa Kementerian Pengangkutan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan cara pelaksanaan berkaitan lesen memandu di negara lain seperti di Thailand.

"Jika sesebuah negara itu memerlukan lesen fizikal, maka kita (rakyat Malaysia) kena ikut. Itu adalah di bawah bidang kuasa mereka. Kita tak boleh nak minta negara luar ikut cara kita, undang-undang antara satu negara dengan satu negara tidak sama," katanya.

Sementara itu, Anthony Loke berkata, urusan pembayaran untuk memperbaharui cukai jalan juga akan dilaksanakan secara digital dan akan dijalankan secara berperingkat.

"Pembayaran memang akan dibuat secara dalam talian dan ia dilakukan secara berfasa.

"Buat waktu ini, kita sedang buat ujian dalam sistem kita, yang mana melalui aplikasi MYJPJ pun kita boleh buat pembayaran," katanya.