Banjir: 657 mangsa masih berlindung di PPS di Selangor, Perak

Mangsa banjir Fauzin Mohd, 46, (kiri) bersama anaknya, Muhd Muizuddin Fauzin, 9, menaiki rakit di halaman rumahnya berikutan banjir yang berlaku sejak 6 November lalu ketika tinjauan di Matang Pasir Changkat Lobak hari ini. - Foto Bernama
Mangsa banjir Fauzin Mohd, 46, (kiri) bersama anaknya, Muhd Muizuddin Fauzin, 9, menaiki rakit di halaman rumahnya berikutan banjir yang berlaku sejak 6 November lalu ketika tinjauan di Matang Pasir Changkat Lobak hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Selangor dan Perak beransur pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu kian berkurangan malam ini.

Di SELANGOR, jumlah mangsa terus mencatatkan penurunan kepada 225 orang daripada 58 keluarga berbanding 381 orang daripada 101 keluarga, pagi tadi.

Laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan empat PPS masih beroperasi di Selangor iaitu Dewan Orang Ramai Jenderam Hilir, Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil dan Dewan Orang Ramai Dengkil di daerah Sepang serta Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang di Kuala Langat.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir malam ini berkurangan kepada 432 mangsa daripada 130 keluarga berbanding 496 mangsa daripada 150 keluarga pagi tadi dengan mangsa ditempatkan di lima PPS di Hilir Perak dan Kerian.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak dalam kenyataan memaklumkan di Hilir Perak, 168 mangsa daripada 52 keluarga masih berada di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak manakala PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, menempatkan seramai 70 orang daripada 24 keluarga.

"Seramai 40 mangsa daripada 11 keluarga pula ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Chikus.

"Mangsa banjir di daerah Kerian pula masih kekal iaitu 97 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga masih berlindung di PPS SK Alor Pongsu", menurut kenyataan itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: