Maik peruntuk RM48.5 juta kutipan zakat bantu asnaf

Tengku Muhammad Rizam (tiga dari kiri) bersama Tunku Noor Hayati (lima dari kiri) bermesra dengan murid terpilih yang menerima bantuan peralatan sekolah daripada Maik.
Tengku Muhammad Rizam (tiga dari kiri) bersama Tunku Noor Hayati (lima dari kiri) bermesra dengan murid terpilih yang menerima bantuan peralatan sekolah daripada Maik.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) memperuntukkan sebanyak RM48.5 juta wang kutipan zakat setiap tahun bagi membantu golongan asnaf terutama fakir miskin dalam bidang pendidikan.

Yang Dipertua Maik, Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz berkata, peruntukan itu mewakili 26.2 peratus daripada jumlah kutipan zakat dan adalah angka yang agak besar.

Menurutnya, antara program bantuan yang dilaksanakan termasuk bantuan persekolahan, bantuan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara, Biasiswa Tengku Anis, Biasiswa Kecil Maik serta bantuan kepada pelajar sekolah pondok.

“Menjadi keutamaan Maik pada masa sekarang untuk memberi penekanan kepada bidang pendidikan kerana menyedari bahawa melalui pendidikan dapat mengurus dan mengurangkan kemiskinan.

“Selain itu, Maik juga menyumbang kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan beberapa institusi pendidikan lain dalam usaha membantu memperkasakan bidang pendidikan di Kelantan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengurniaan Bantuan Persekolahan kepada Pelajar-pelajar Asnaf di Masjid Muhammadi di sini kelmarin.

Hadir sama, Tengku Puan Temenggong Kelantan, Puan Sri Tunku Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Timbalan Yang Dipertua Maik, Zulkifle Ab Rahman.

Tengku Muhammad Rizam berkata, seramai 16,263 pelajar terpilih untuk menerima bantuan persekolahan yang diberikan dalam bentuk barangan untuk sesi persekolahan 2020.

“Penerima terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah YIK dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dari seluruh negeri Kelantan.

Artikel Berkaitan:

“Bagi program pada hari ini (kelmarin) seramai 251 pelajar terpilih daripada kalangan asnaf yang menuntut di sekolah YIK dan JPN Kelantan dari jajahan Kota Bharu,” katanya.

Beliau berkata, Maik turut membelanjakan lebih RM2.4 juta untuk membiayai kos pembelian peralatan sekolah kepada pelajar-pelajar asnaf yang terpilih.

“Adalah diharapkan bantuan ini dapat meringankan sedikit bebanan yang dihadapi oleh ibu bapa dalam menguruskan persekolahan anak-anak terutamanya pada sesi awal persekolahan akan datang,” katanya.