Shuib mohon maaf masalah tunggakan caruman KWSP pekerja

Shuib memuat naik video di laman sosial bagi memperjelaskan dakwaan tidak membayar caruman KWSP pekerja syarikatnya.
Shuib memuat naik video di laman sosial bagi memperjelaskan dakwaan tidak membayar caruman KWSP pekerja syarikatnya.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pelawak yang juga pengasas perniagaan minuman Bubble Bee, Shahmira Muhammad atau lebih dikenali sebagai Shuib memohon maaf kepada kakitangan dan bekas pekerja berhubung tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas ia tular di media sosial.

Shuib menafikan syarikatnya tidak membayar langsung caruman KWSP sebaliknya terdapat tunggakan sejak awal tahun lalu yang sedang dilunaskan secara berperingkat.

Menurutnya, tunggakan tersebut berpunca daripada pengurusan lama sebelum beliau bersama seorang rakan kongsi mengambil alih pada November 2022 bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

"Apabila surat layang dikeluarkan, ia kelihatan seolah-olah kami langsung tidak ambil tahu soal caruman KWSP pekerja.

"Saya hendak beritahu, sebenarnya, dari awal tahun ini, kami sudah berhubung dengan KWSP dan memaklumkan kepada pegawai badan itu mengenai situasi yang berlaku.

"Kami tahu ada tunggakan sebanyak ini di mana kami tidak boleh bayar sekali gus," katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial pada Jumaat.

Tambah Shuib, pihak syarikat akan melunaskan tunggakan caruman tersebut malah KWSP turut membenarkan bayaran dibuat secara ansuran.

"Kami akan bayar kerana itu kewajipan sebagai majikan. Alhamdulillah, kami ada buat pembayaran, banyak juga yang sudah dijelaskan.

Artikel Berkaitan:

"Cuma, kami masih menunggu keputusan mengenai berapa kali bayaran ansuran yang dibenarkan.

"Walaupun kami lalui saat genting akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat tidak pernah potong gaji pekerja. Kami juga tidak pernah lari daripada bayar gaji sampai hari ini," ujarnya.

Shuib turut memuji pekerja yang masih setia dan faham dengan situasi yang berlaku kepada syarikat ketika ini.