Malaysia tidak mahu OIC sekadar keluarkan kenyataan mengutuk semata-mata - Zambry

Zambry Abdul Kadir
Zambry Abdul Kadir
A
A
A

RIYADH - Malaysia tidak mahu mesyuarat dan pertemuan-pertemuan dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) berkenaan Palestin hanya sekadar berakhir dengan kenyataan mengutuk semata-mata tanpa mengemukakan sebarang langkah konkrit untuk bergerak ke hadapan.

Sebaliknya, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, perlu ada penegasan daripada negara-negara anggota OIC supaya gencatan senjata disegerakan dan pembunuhan yang sedang berlaku di Palestin ketika ini dihentikan.

"Kita tidak mahu mesyuarat, pertemuan demi pertemuan (OIC), tetapi ia tidak memberikan apa-apa impak, tidak menghasilkan apa-apa.

"Perlu ada penegasan, ada langkah-langkah ke hadapan daripada negara-negara anggota untuk menyegerakan proses gencatan senjata, untuk segera dihentikan serangan dan pembunuhan kejam oleh rejim (Israel) yang tidak berperikemanusiaan ini,” katanya kepada wartawan Malaysia, di sini, pada Sabtu.

Sebelum itu beliau telah menghadiri mesyuarat menteri-menteri luar OIC bersempena dengan Sidang Kemuncak Tergempar OIC kali kelapan yang akan berlangsung hari ini di ibu negara Arab Saudi itu.

Sidang kemuncak tergempar itu akan membincangkan kekejaman dan serangan berterusan yang tidak berperikemanusiaan oleh rejim Israel terhadap Palestin.

Dihoskan oleh Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman, sidang kemuncak itu akan turut dihadiri oleh pemimpin dan wakil negara anggota OIC.

Sidang kemuncak tergempar itu adalah hasil bkerjasama utuh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa pemimpin OIC.

Artikel Berkaitan:

Perdana Menteri dijangka tiba di Riyadh hari ini bagi menghadiri sidang kemuncak tergempar itu, dan beliau dijangka menyuarakan ketegasan pendirian Malaysia berkenaan isu Palestin yang telah berlarutan sejak sekian lama.

"Apa yang perlu ada ialah, langkah segera untuk menamatkan peperangan ini. Kita tidak boleh membiarkan pembunuhan kejam dilakukan, kanak-kanak, wanita dan orang awam dibunuh dengan kejam atas nama hak mereka (Israel) untuk self-defence,” kata Zambry.

Beliau berkata, sidang kemuncak tergempar OIC hari ini akan didahului dengan Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab.

Zambry berkata, satu kenyataan bersama akan dikeluarkan pada akhir kedua-dua sidang kemuncak itu, yang diharap dapat memberikan impak besar.

Ini katanya, adalah kerana Malaysia mahu tindakan yang benar-benar konkrit untuk menyelesaikan masalah rakyat Palestin, bukan sahaja di Gaza tetapi juga di Tebing Barat yang mula diserang oleh rejim Israel.

Serangan berterusan tanpa henti rejim Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza sejak kira-kira sebulan yang lepas telah membunuh lebih 11,000 orang, dengan sebahagian besar daripada yang terbunuh itu adalah penduduk awam terutamanya wanita dan kanak-kanak. - Bernama