Jangan keluarkan kenyataan bodoh sepanjang PRN

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SEKARANG cuaca agak panas dan berbahang. Ditambah lagi dengan suhu politik negara yang tak pernah reda. Memang sentiasa panas.

Tambahan lagi tidak lama lagi akan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 12 Ogos ini sebagai tarikh pengundian.

Merak Jalanan yakin, sepanjang tempoh tersebut, kedua-dua pihak iaitu blok kerajaan dan pembangkang akan mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi yang akan memanaskan lagi keadaan.

Rakan Merak Jalanan berkata, tak seronok kalau politik tak panas. “Tak happening kalau senyap sunyi,” katanya.

Merak Jalanan setuju, lagi panas suhu politik lagi best. Kawan-kawan Merak Jalanan pun ada bahan untuk dilaporkan di agensi media mereka.

Cuma Merak Jalanan harap tidak ada kenyataan-kenyataan bodoh dan menyinggung perasaan rakyat daripada pihak yang bertanding nanti.

Parti yang yakin menang tidak perlu kempen sangat sampai terlajak cakap. Berfikir sebelum bercakap, bukan keluarkan kenyataan yang membuatkan rakyat mentertawakan anda.

Juga jangan bersikap sombong dan angkuh mengeluarkan kenyataan sehingga dilihat angkuh dan tak berilmu.

Contohnya, baru-baru ini ada wakil parti tertentu yang mengatakan ringgit lebih baik daripada baht Thailand dan harga barang naik baik untuk rakyat. Kenyataan seperti ini hanya memperlihatkan kebodohan beliau sendiri.

Begitu juga kenyataan-kenyataan yang menyentuh bangsa, agama dan raja (3R) sepanjang tempoh berkempen nanti.

Merak Jalanan tak mahu dalam tempoh kempen nanti ada timbul suasana ketidakharmonian dan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat. Ia tidak membawa sebarang faedah pun!