Banjir di Selangor beransur pulih

Penduduk Kampung Cemperai membersihkan rumah mereka yang dipenuhi lumpur selepas dilanda banjir. - Foto Bernama
Penduduk Kampung Cemperai membersihkan rumah mereka yang dipenuhi lumpur selepas dilanda banjir. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Selangor beransur pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) kian berkurangan malam ini manakala jumlah mangsa banjir di Perak tidak banyak berubah.

Di SELANGOR, mangsa banjir terus menurun kepada 429 orang daripada 110 keluarga berbanding 697 orang daripada 178 keluarga yang dilaporkan pagi tadi.

Menurut laman sesawang Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, kesemua mangsa ditempatkan di lapan PPS iaitu lima di daerah Sepang dan tiga di Kuala Langat.

Dua PPS di daerah Hulu Langat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bangi dan SK Ulu Semenyih pula telah ditutup.

Sementara itu di PERAK, keadaan banjir setakat malam ini tidak banyak berubah apabila jumlah mangsa berkurangan sedikit iaitu 496 mangsa daripada 150 keluarga ditempatkan di lima PPS berbanding 507 mangsa daripada 155 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, dalam kenyataan memaklumkan, di Hilir Perak, 166 mangsa daripada 52 keluarga masih berada di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak manakala PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan pula menempatkan seramai 130 orang daripada 42 keluarga.

Seramai 46 mangsa daripada 13 keluarga pula masih ditempatkan di PPS PPS Dewan Serbaguna Chikus.

Mangsa banjir di daerah Kerian pula kekal 97 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga masih kekal berlindung di PPS SK Alor Pongsu, menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong masih pada tahap bahaya iaitu 4.01 meter. - Bernama