Tolak peruntukan Akta Anti Lompat Parti 'makan diri' Bersatu - KJ

KJ dalam temu bual di Podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, pada Jumaat.
KJ dalam temu bual di Podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak satu peruntukan dalam draf Akta Anti Lompat Parti sebelum ini didakwa memakan diri apabila sebilangan ahli Parlimen mereka menyatakan sokongan kepada kerajaan.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, usul yang dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika itu agar peruntukan untuk mengisytiharkan pengosongan kerusi jika seorang ahli Parlimen bertentangan pendirian atau melanggar prinsip parti di Dewan Rakyat, ditolak oleh menteri dan wakil rakyat Bersatu.

Ujarnya, pihak mereka bertegas menentang klausa itu apabila ia pertama kali dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri sehingga ia dikeluarkan daripada Rang Undang-Undang tersebut.

"Ironinya individu yang menentang adalah ahli Parlimen dan menteri Bersatu, iaitu dari Perikatan Nasional (PN) sekarang ini, antara paling lantang tidak menyokong draf berkenaan.

"Mungkin kerana mereka juga ada pengalaman melompat parti.

“Menteri-menteri yang bantah itu kini menjadi mangsa terhadap draf yang telah dipinda dan diluluskan,” katanya pada Podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, pada Jumaat.

Sebelum ini, empat wakil rakyat mewakili PN daripada Bersatu iaitu Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik mengumumkan pendirian menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul turut menjelaskan tindakan kesemua wakil rakyat pembangkang terlibat yang menyatakan sokongan kepada kerajaan tidak menjejaskan kerusi bagi kawasan tersebut.

Tambah Khairy, Wan Junaidi ketika itu mengesan kelompongan dalam Akta Anti Lompat Parti tetapi kini sudah terlambat dan tiada tindakan atau langkah yang dapat dilakukan.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang ini, mereka akan jadi ahli Parlimen 'zombi' yang mana Bersatu tidak boleh pecat dan tidak boleh sertai Barisan Nasional-Pakatan Harapan atau PN, hidup macam 'zombi' dan akan dapat peruntukan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!