Lipis diperakui sebagai Geopark Kebangsaan

 Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Pengiktirafan Lipis sebagai Geopark Kebangsaan membuktikan daerah itu di landasan yang tepat untuk diangkat sebagai Global Geopark daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2025.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memperakui daerah itu sebagai Geopark Kebangsaan menerusi Mesyuarat Geopark Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausahanya pada Khamis.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut membuktikan pembangunan di daerah Lipis berupaya menjadi sebuah tapak mesra warisan dan alam sekitar serta seterusnya berpotensi sebagai destinasi pelancongan lestari bertaraf antarabangsa.

"Terima kasih kepada kementerian yang terlibat kerana memilih daerah Lipis.

"Tahniah dan syabas kepada semua pihak terutamanya Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) yang telah berusaha menjadikan daerah Lipis sebagai Geopark Kebangsaan.

"Saya juga berharap penglibatan yang aktif oleh komuniti tempatan dan pihak berkepentingan, menjadikan wilayah Geopark Lipis berada di landasan yang tepat bagi diangkat sebagai UNESCO Global Geopark pada tahun 2025," katanya yang berkongsi khabar gembira itu di laman Facebook miliknya pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, menerusi perakuan tersebut, daerah Lipis dikenali sebagai Lipis Geopark bermula 9 November 2023.

Ujar beliau lagi, pelaksanaan Lipis Geopark itu adalah selari dengan draf perancangan Blueprint Pahang Destinasi Warisan Dunia (2024-2028).

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ia untuk menjadikan Pahang sebagai destinasi bertaraf dunia bagi pengiktirafan tapak berjenama UNESCO di bawah kategori World Heritage Site (WHS), Man and Biosphere Reserve (MAB) dan UNESCO Global Geopark (UGGp).

Lipis Geopark yang berkeluasan 5,198 kilometer persegi iaitu meliputi keseluruhan daerah Lipis dengan 28 tapak warisan geologi, 18 tapak warisan budaya dan enam tapak warisan biologi adalah Geopark Kebangsaan yang terbesar di Malaysia buat masa ini.

Antara tapak di daerah Lipis yang diangkat sebagai tapak Geopark Kebangsaan seperti Galeri Aspirasi Lipis Geopark; Geotapak bernilai Kebangsaan (Zon Sutura Bentong-Raub, Jujukan Perms-Trias Gua Bama dan Kuala Sungai Lipis); Geotapak bernilai Geopelancongan (Ketakselarasan Gua Tahi Bintang dan Gua Sisik Naga) dan Biotapak (Taman Negara Sungai Relau, Taman Eko Rimba Sungai Yu).

Turut terlibat, Tapak Budaya (Stesen Keretapi Lipis, Bangunan Majlis Daerah Lipis, Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford); Pendidikan (SMK Merapoh) dan Komuniti (Perkampungan Orang Asli Pos Betau).