UMS sahkan tangki air tercemar berlaku di kolej kediaman

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengesahkan berlaku pencemaran di salah sebuah tangki air di kolej kediaman universiti tersebut.

Pusat Komunikasi Korporat UMS dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa pihaknya mengambil maklum terhadap sebuah video yang dimuat naik di media sosial berkaitan pencemaran tangki air berkenaan.

"Susulan daripada klip video tersebut, pihak pengurusan UMS melalui Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) telah menjalankan siasatan terhadap kesahihan dakwaan seperti yang dinyatakan dalam video tersebut.

"Pihak JPP mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku terhadap salah satu tangki air di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) UMS," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu berkata, tangki yang terjejas adalah tangki dari sumber air melalui sistem telaga tiub dan tidak menjejaskan sumber air yang disalurkan daripada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sebagai sumber utama kegunaan harian pelajar.

"Ekoran kejadian tersebut, JPP telah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan untuk mengosongkan tangki yang terlibat.

"Pihak JPP juga telah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan agar sentiasa memantau setiap fasiliti bangunan di UMS bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan dan kesihatan khususnya kepada warga pelajar UMS," katanya.

Sehubungan itu, pihak pengurusan UMS akan terus memantau perkembangan pelajar di KKTPAR bagi memastikan kesihatan pelajar tidak terjejas dan tidak mengganggu pembelajaran serta kehidupan seharian mereka sepanjang berada di kolej kediaman.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan satu video berdurasi 24 saat tular di TikTok yang memaparkan keadaan menjijikkan apabila tangki berisi air dipenuhi ulat dipercayai disebabkan terdapat bangkai monyet didalamnya.

Pemilik akaun mendakwa terpaksa menggunakan kuasa tular berhubung isu air yang melanda di universiti tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!