Sila log masuk terlebih dahulu.

Kiwanis, bukan komunis

Polis menafikan berlaku pengibaran bendera komunis pada perarakan tersebut seperti yang ditular.
Polis menafikan berlaku pengibaran bendera komunis pada perarakan tersebut seperti yang ditular.
A
A
A

BUTTEROWORTH - Polis menafikan pengibaran bendera komunis pada Perarakan Chingay Pesta Pulau Pinang ke-11 yang diadakan di Padang Dataran Pemuda, Jalan Raja Uda pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, satu video tular di media sosial yang dipercayai dirakam seorang lelaki dengan menyebut 'bendera komunis' ketika perarakan tersebut.

Menurutnya, siasatan mendapati bendera yang dikatakan itu adalah daripada sebuah pertubuhan kebajikan iaitu Kiwanis.

"Video itu ditularkan sejak pagi tadi kononnya berlaku pengibaran bendera komunis ketika perarakan tersebut.

"Bagaimanapun, ia hanya bendera yang dibawa kontinjen Kiwanis yang turut serta sempena Perarakan Chingay Pesta Pulau Pinang ke-11 pada jam 6 petang Ahad lalu. Perarakan tersebut disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Perarakan Chingay Pesta Pulau Pinang ke-11 telah diadakan di Jalan Raja Uda, Butterworth Ahad lalu.
Perarakan Chingay Pesta Pulau Pinang ke-11 telah diadakan di Jalan Raja Uda, Butterworth Ahad lalu.

Beliau berkata, perarakan itu dianjurkan oleh Exco Pembangunan, Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan Dan Warisan, Yeoh Soon Hin yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

"Seramai 50 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis SPU ditugaskan ketika perarakan tersebut berlangsung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noorzainy berkata, polis kini sedang berusaha mengesan pelaku yang merakam dan menularkan video tersebut untuk membantu siasatan.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menularkan rakaman yang tidak sahih semata-mata untuk menarik minat warganet di laman sosial. Sepatutnya periksa kesahihan sesuatu maklumat dahulu sebelum menyebarkannya," katanya.