Tujuh cedera, enam terselamat nahas dua kenderaan

Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa terlibat kemalangan di Jalan Tepuh, Kampung Sungai Ikan di Kuala Nerus pada Jumaat. Foto: Ihsan JBPM
Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa terlibat kemalangan di Jalan Tepuh, Kampung Sungai Ikan di Kuala Nerus pada Jumaat. Foto: Ihsan JBPM
A
A
A

KUALA NERUS - Seramai tujuh mangsa cedera manakala enam terselamat dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Tepuh, Kampung Sungai Ikan di sini pada Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 12.36 tengah hari sebelum mengerahkan sembilan anggota penyelamat bersama sebuah water tander ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian kita dapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah MPV (kenderaan pelbagai guna) jenis Toyota Innova dengan kereta jenis Honda City menyebabkan MPV berkenaan terbabas ke dalam alur air.

"Seorang pemandu perempuan dewasa dan seorang penumpang dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berjaya diselamatkan dan mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan disini, pada Jumaat.

Menurut Azmi, anggota bomba mengeluarkan mangsa dari dalam alur air menggunakan basket stretcher dan diserahkan kepada pihak kesihatan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, katanya, enam individu termasuk pemandu kereta Honda City yang terlibat kemalangan selamat.

"Operasi menyelamat mangsa kemalangan tamat jam 1.46 tengah hari," katanya.

Artikel Berkaitan: