Malaysia Airlines mula penerbangan sulung ke Amritsar, Trivandrum

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SYARIKAT penerbangan nasional, Malaysia Airlines memulakan penerbangan sulung antara Kuala Lumpur ke Amritsar dan Trivandrum dengan mengadakan majlis pelepasan pada 8 dan 9 November 2023 di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) dalam kenyataan hari ini berkata, penerbangan MH118 ke Amritsar berlepas dari Kuala Lumpur pada 6.50 petang waktu tempatan, manakala penerbangan MH116 berlepas dari Kuala Lumpur ke Trivandrum pada 9.30 malam waktu tempatan.

MAG berkata, kedua-dua penerbangan menggunakan pesawat Boeing 737-800 NG syarikat penerbangan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, dengan bermulanya penerbangan ke Amritsar dan Trivandrum, pihaknya berbangga muncul sebagai syarikat penerbangan premium khidmat lengkap pertama yang menawarkan penerbangan ke Asia Selatan dan Pasifik.

"Pengembangan laluan kami ke India bukan sahaja tertumpu kepada kesalinghubungan memandangkan usaha ini membuahkan pelbagai hasil positif, daripada memacu pertumbuhan ekonomi sehingga meningkatkan pelancongan, memupuk pertukaran budaya dan memudahkan kerjasama global,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pengenalan dua laluan baharu berkenaan meluaskan kesalinghubungan lokasi ke lokasi Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke India menerusi lapan hab pertama termasuk New Delhi, Bengaluru, Mumbai, Chennai, Hyderabad dan Kochi.

Malaysia Airlines kekal komited untuk meningkatkan kesalinghubungan dan akan memulakan operasi ke Ahmedebad pada Disember ini, katanya.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web https://www.malaysiaairlines.com/my/en/home.html. - Bernama

Artikel Berkaitan: