874 kawasan 'hot spot' banjir dikenal pasti di Johor

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Sebanyak 874 kawasan 'hot spot' banjir dikenal pasti di Johor yang diramal berlaku dalam Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 bermula Sabtu sehingga Mac 2024.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sudah mengarahkan setiap aset, logistik dan sistem amaran awal bencana diperiksa agar berfungsi dengan baik serta memastikannya siap sedia untuk dikerahkan apabila banjir.

Beliau memberitahu, menerusi Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi MTL dan Pencemaran Sungai Negeri Johor di sini pada Khamis, terdapat beberapa pelan tindakan dibincangkan bagi menghadapi MTL serta langkah mitigasi terperinci jika banjir mulai melanda Johor.

Onn Hafiz arah setiap aset, logistik dan sistem amaran diperiksa serta berfungsi semasa Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi MTL dan Pencemaran Sungai di Iskandar Puteri, pada Khamis.
Onn Hafiz arah setiap aset, logistik dan sistem amaran diperiksa serta berfungsi semasa Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi MTL dan Pencemaran Sungai di Iskandar Puteri, pada Khamis.

"Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah memberi amaran tiga hari sebelum hujan lebat yang berterusan di daerah masing-masing.

"Oleh itu, setiap pegawai daerah telah diminta untuk membuat Mesyuarat Penyelarasan Bencana dalam tempoh 24 jam selepas mendapat amaran tersebut.

"Kerajaan negeri turut mencadangkan agar diadakan program gotong royong membersihkan saliran, longkang dan parit di setiap daerah dan kampung-kampung, terutamanya di tempat yang kerap berlaku banjir.

"Hal ini sedikit sebanyak mampu mengurangkan risiko kenaikan air secara mendadak," katanya dalam satu kenyataan pada malam Khamis.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mesyuarat turut membincangkan berkenaan isu pencemaran sungai di negeri ini antaranya Sungai Tebrau, Sungai Skudai, Sungai Kim Kim dan Sungai Selangkah.

Menurutnya, masalah berkenaan perlu diberi perhatian segera agar pencemaran sungai dapat diatasi dengan baik.

"Beberapa langkah telah diambil, namun saya menyeru semua pihak serta seluruh Bangsa Johor, untuk sama-sama kita jaga kebersihan sungai, kerana kebersihan mencerminkan kehebatan dan mentaliti bangsanya," ujarnya.

Turut hadir dalam mesyuarat tersebut Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Ismail Abu dan barisan Exco kerajaan negeri serta Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai-pegawai daerah, Yang Dipertua Majlis Daerah serta ketua-ketua jabatan Persekutuan, negeri serta agensi.