'Tiada lagi panggilan Tok Mek daripada Rayyan'

Che Ku Zaleha ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Tawar, Kampung Raja pada Khamis.
Che Ku Zaleha ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Tawar, Kampung Raja pada Khamis.
A
A
A

BESUT - Seorang nenek tidak dapat menahan sedih dengan kehilangan cucu lelakinya yang maut dipercayai menjadi mangsa dera di Kampung Raja dekat sini.

Che Ku Zaleha Tengku Ali, 66 berkata, dia sempat memangku Muhammad Rafiq Rayyan Muhammad Rusydan yang berusia 17 bulan ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Kampung Raja pada pagi Rabu.

"Tiada lagi panggilan Tok Mek daripada Rayyan. Cucu saya memang rapat dengan saya.

"Sehari sebelum kejadian dia diambil oleh teman lelaki ibunya. Pagi semalam selepas ibunya ambil Rayyan, ibu dia hubungi saya untuk bersiap-siap ke klinik.

"Ketika saya pangku Rayyan, cucu saya sudah tidak sedarkan diri," katanya dengan nada sebak.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Tawar, Kampung Raja di sini pada Khamis.

Pada Khamis, media melaporkan bayi lelaki berusia setahun lima bulan di sini maut dipercayai didera oleh rakan lelaki kepada ibu mangsa.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, polis menerima laporan dari Klinik Kesihatan Kampung Raja di sini pada 8 November yang memaklumkan mangsa meninggal dunia di klinik itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Rozak berkata, ibu kepada mangsa yang juga seorang ibu tunggal berusia 27 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kes kematian anak lelakinya.

Katanya, pihak polis juga sedang mengesan rakan lelaki ibu mangsa bayi maut berkenaan.