MAIDAM pelbagaikan konsep pembayaran wakaf, sasar tingkat ekonomi Islam

Shaikh Harun (empat dari kiri) dan Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (lima dari kanan) bersama staf Sinar Karangkraf dan MAIDAM.
Shaikh Harun (empat dari kiri) dan Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (lima dari kanan) bersama staf Sinar Karangkraf dan MAIDAM.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mempelbagaikan konsep pembayaran sumbangan wakaf dalam bentuk wang bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi Islam di negeri itu.

Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, sumbangan wakaf kini boleh dilakukan secara dalam talian, skim potongan gaji dan membuat pembayaran di kaunter atau tabung wakaf MAIDAM.

“Fokus kini adalah untuk mengumpul sumbangan wakaf dalam usaha memberi perubahan dan peluang kepada pihak yang memerlukan iaitu menerusi sektor pendidikan, kesihatan dan perubatan serta korporat,” katanya ketika mengadakan kunjungan hormat ke Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Khamis.

Menurutnya, harta seperti wang tunai dan saham boleh diwakafkan dengan cara menukarkannya kepada bentuk harta kekal atau harta tak alih iaitu dalam bentuk pelaburan yang dibenarkan dalam Islam.

Ujarnya, keuntungan yang diperoleh daripada pelaburan tersebut akan digunakan untuk membeli harta tak alih lain dan akan dijadikan wakaf bagi menggantikan aset wakaf asal (harta alih).

“Wang boleh diwakafkan dengan melaburkannya dalam bentuk perniagaan atau pelaburan dan hasilnya akan disedekahkan atau diwakafkan.

“Begitu juga barang seperti makanan yang boleh disukat dan ditimbang, kemudian diwakafkan di mana ia akan dijual dan hasil jualan itu akan dilaburkan kemudian diwakafkan bagi tujuan-tujuan kebajikan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Shaikh Harun (kanan) menerima cenderamata daripada Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (kiri).
Shaikh Harun (kanan) menerima cenderamata daripada Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (kiri).

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, harta yang boleh diwakafkan mempunyai dua kategori iaitu harta tak alih dan harta alih di mana harta tak alih lebih banyak diwakafkan kerana ia merupakan amalan tradisi sejak zaman Rasulullah serta sahabat.

Jelas beliau, harta alih iaitu wang, buku serta sejadah tidak semua ulama berpandangan ia boleh diwakafkan tetapi, harta alih masih boleh diwakafkan dengan syarat ia tidak habis semasa digunakan seperti kereta, peralatan perabot dan sebagainya.

“Wakaf ini tidak difokuskan kepada fakir miskin sahaja, ia boleh diberikan kepada sesiapa yang memerlukan. Saya harap masyarakat kini menjadikan wakaf ini sebagai satu budaya, berinfak fisabilillah untuk meningkatkan prestasi ekonomi umat Islam,” jelas beliau.