PPTSB komited budayakan amalan mampan dalam operasi

A
A
A

MOHD JAMAL
MOHD JAMAL

KEMAMAN - Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd (PPTSB) komited untuk terus membudayakan amalan mampan dalam operasi hariannya.

Ketua Pegawai Eksekutif PPTSB, Mohd Jamal Haron berkata pembudayaan elemen itu merupakan inisiatif pihak pengurusan yang menitikberatkan aspek pendidikan ke arah transformasi budaya kerja dalam kalangan warga syarikat itu.

Malah, inisiatif itu turut selari dengan dasar, amalan serta penekanan yang dilaksanakan oleh syarikat induk PPTSB, Petronas.

"Di antara usaha yang giat dijalankan PPTSB ialah meningkatkan kesedaran warga kerja dan keluarga terhadap budaya kitar semula.

“Sebagai contoh, kita galakkan mereka mengumpul minyak masak terpakai untuk dikitar semula. Usaha ini mendapat sambutan yang sangat bagus sehingga berjaya mengumpul 1500 kilogram minyak masak terpakai sepanjang tempoh enam bulan kutipan minyak masak terpakai ini berlangsung,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Mohd Jamal, di dalam usaha menghadkan penggunaan plastik di dalam loji, pihak pengurusan turut mengagihkan bekas makanan dan minuman boleh guna semula kepada setiap kakitangan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, PPTSB turut memberikan penekanan kepada kepentingan persekitaran yang bersih termasuklah menggalakkan penyertaan aktiviti kutipan sampah di kawasan Pantai bersama badan bukan kerajaan (NGO) seperti Geng Plastik Hijau.

Dalam pada itu, Mohd Jamal turut memberitahu, PPTSB juga menggunapakai teknologi hijau dalam kemudahan fasiliti syarikat itu termasuklah tenaga solar.

“Kita telah memasang panel solar pada bangunan, bengkel dan gudang yang mana ia mampu menjana 330 kilowatt-jam (kWh) tenaga elektrik untuk kegunaan lampu-lampu di kompleks PPT di sini.

Pada masa sama, PPTSB juga turut menggantikan kenderaan-kenderaan syarikat sedia ada kepada motor elektrik untuk pengangkutan kakitangan di dalam dan luar pengoperasian loji.

Usaha itu disokong dengan membina stesen pengecasan EV dengan kerjasama penyedia penyelesaian tenaga bersih Malaysia, Gentari Sdn Bhd.

Di dalam memastikan kesinambungan usaha ini, pihak pengurusan turut mengadakan program berkaitan kelestarian di peringkat jabatan. Kemuncaknya setiap jabatan diminta mempersembahkan projek kelestarian masing-masing di dalam Karnival Lestari yang di anjurkan setiap tahun.

“Usaha membudayakan kelestarian di kalangan warga kerja PPTSB adalah selari dengan matlamat Petronas untuk mengurangkan pelepasan karbon di dalam operasinya,” ujar beliau.