105 saman dikeluarkan dalam Operasi Cegah Kemalangan Jalan Raya

Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya menjalankan operasi di Jalan Taman Putra,.pada Sabtu.
Sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya menjalankan operasi di Jalan Taman Putra,.pada Sabtu.
A
A
A

AMPANG - Sebanyak 105 saman melibatkan pelbagai kesalahan dikeluarkan dalam Operasi Cegah Kemalangan Jalan Raya dan Pencegahan Jenayah di Jalan Taman Putra, di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya mendapati pelbagai kesalahan antaranya adalah tiada lesen memandu yang sah, kesalahan nombor pendaftaran, ubah suai struktur kenderaan (ekzos), tidak patuh pada tunjuk arah dan brek tidak berfungsi dengan baik.

"Dalam operasi yang bermula pada jam 9.30 malam hingga 12.30 tengah malam itu, sebanyak 12 buah motosikal dan sebuah kereta telah ditahan dan dibawa balik ke Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk proses dokumentasi.

"Kita akan memanggil pemilik kenderaan itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Azam berkata, operasi yang dijalankan itu adalah bertujuan bagi mengesan kesalahan lalu lintas yang menyumbang kepada peningkatan kadar kemalangan jalan raya.

"Selain itu, operasi ini juga adalah bagi melakukan pencegahan aktiviti jenayah," katanya.

Beliau berkata, semua pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang pengubahsuaian pada mana-mana struktur asal kenderaan yang boleh menjadi punca kepada berlakunya kemalangan.

"Jadilah pengguna jalan raya yang patuh pada undang-undang, utamakan keselamatan dan sayangi nyawa.

"Kita akan sentiasa menjalankan operasi penguatkuasaan demi membanteras pesalah lalu lintas yang sering mengabaikan peraturan jalan raya yang telah ditetapkan," katanya.