Empat pelajar MRSM menang emas pertandingan robotik antarabangsa

Empat pelajar MRSM merangkul dua pingat emas dalam pertandingan IRO 2019 di Chiang Mai, Thailand pada 15 hingga 20 Disember lepas.
Empat pelajar MRSM merangkul dua pingat emas dalam pertandingan IRO 2019 di Chiang Mai, Thailand pada 15 hingga 20 Disember lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengharumkan nama negara apabila merangkul dua pingat emas dalam pertandingan International Robot Olympiad (IRO) 2019 di Chiang Mai, Thailand pada 15 hingga 20 Disember lepas.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelajar MRSM Bentong, Ahmad Muqry Hasni dan Nur Ain Balqis Mohd Razuan memenangi emas dalam acara kreatif bertemakan Robot: Agricultural Revolution (Robot: Revolusi Pertanian).

“Robot binaan mereka dinamakan Dr Plant dan dapat mengenal pasti pokok perosak serta menghapuskan pokok perosak tersebut dengan menggunakan semburan racun.

"Robot ini menggunakan pengecaman gambar yang dijana oleh teknologi kepintaran buatan menggunakan software TensorFlow dilengkapi Raspberry Pi 3 untuk menghantar arahan kepada motor pam yang dijana dua servo motor bagi mencari dan mengarahkan muncung penyembur kepada pokok perosak,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ziyad Azhar dan Hana Humaira Wan Hasnan daripada MRSM Kota Putra pula merangkul pingat emas bagi acara Robot in Movie (Robot Dalam Filem).

Mereka menghasilkan video dengan sub tema Vital Monitoring (Pemantauan Penting) kepada tema utama.

Video tersebut memerlukan mereka merangka jalan cerita serta menggunakan robot dan peralatan serta menguji kepakaran peserta dalam proses suntingan dan kesan khas.

Artikel Berkaitan:

Pelajar-pelajar MRSM yang mewakili negara bagi pertandingan IRO 2019 di Chiang Mai, Thailand.
Pelajar-pelajar MRSM yang mewakili negara bagi pertandingan IRO 2019 di Chiang Mai, Thailand.

Menurut kenyataan itu lagi, Mara turut memenangi satu pingat perak, satu pingat gangsa dan satu anugerah teknikal.

MRSM Pendang yang diwakili Ishak Mat Ramlee dan Nurhusna Norzaidi merangkul pingat perak dengan ciptaan robot yang berupaya mengesan rumput liar tumbuh di kawasan pertanian dan memusnahkannya mengunakan tenaga elektrik.

Manakala MRSM Kota Kinabalu yang merangkul pingat gangsa menghasilkan robot yang dapat meminimumkan kesan pembakaran tanaman sekiranya kebakaran berlaku.

Carlos Kong Su Yie dan Yasmeen Puteri Yusri mendapat inspirasi projek itu berdasarkan kes kebakaran tanaman di sekitar Sabah.

Wakil Mara bersaing dengan pelajar daripada 14 negara antaranya Korea Selatan, China, Singapura, Filipina, New Zealand, Mesir, Indonesia dan Thailand, dengan keseluruhan penyertaan pada pertandingan itu lebih 800 orang.

Kontinjen Malaysia seramai 66 orang terdiri daripada 51 pelajar, 14 guru dan seorang pegawai merangkap ketua kontinjen daripada Bahagian Pendidikan Menengah.

"Mara melalui MRSM telah menghantar pelajarnya ke pertandingan robotik di peringkat antarabangsa sejak 2005 bagi memberikan pendedahan selain mengukur prestasi pelajar dalam bidang robotik.

“Mara komited dalam menyumbang kepada penghasilan modal insan dalam bidang robotik dan teknologi kepintaran buatan seiring dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0),” menurut kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!