Bapa didakwa rogol, amang seksual tiga anak kandung sejak 2012

Tertuduh yang berusia 41 tahun membuat pengakuan bersalah atas 27 pertuduhan. - Gambar/ Astro AWANI
Tertuduh yang berusia 41 tahun membuat pengakuan bersalah atas 27 pertuduhan. - Gambar/ Astro AWANI
A
A
A

MUAR - Seorang pekerja ladang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 34 pertuduhan melakukan kesalahan rogol, amang seksual dan kelucahan melampau terhadap tiga anak kandungnya yang berusia 12, 17 dan 18 tahun sejak 2012.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berusia 41 tahun menghadapi 20 pertuduhan rogol, 11 pertuduhan amang seksual dan tiga pertuduhan kelucahan melampau.

Bagaimanapun, tertuduh hanya mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan kelucahan melampau, 15 pertuduhan rogol dan 10 pertuduhan melakukan amang seksual.

Tertuduh bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas lima pertuduhan rogol dan satu pertuduhan amang seksual serta menafikan satu pertuduhan kelucahan melampau.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan ke atas mangsa di enam lokasi berbeza sekitar Muar, sejak 2012 sehingga Oktober lepas.

Bagi pertuduhan rogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan.

Sementara bagi pertuduhan amang seksual, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kelucahan melampau, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 337D Akta Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan penjara maksimum dua tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan yang dilakukan adalah berat selain seorang daripada mangsa yang kini berusia 18 tahun sedang hamil.

Artikel Berkaitan:

Hakim Irwan Suaibon tidak membenarkan lelaki itu diikat jamin dan menetapkan 16 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan jatuh hukum. - Bernama