Kementerian, jabatan, agensi patuh arahan baharu kawalan perbelanjaan

Mohd Zuki - Foto Bernama
Mohd Zuki - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kebanyakan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan didapati patuh dengan arahan baharu mengenai kawalan perbelanjaan awam yang dikeluarkan pada 18 Oktober lepas, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan sebagai langkah penjimatan serta bagi mengelak pembaziran sumber kewangan awam.

"Saya lihat selepas arahan dikeluarkan banyak kementerian patuh, maksudnya banyak acara dan program kerajaan (kini dibuat) di tempat kemudahan kerajaan, institut latihan awam dan sebagainya,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Perancangan Kebangsaan 2023 (NPC2023) di sini pada Rabu, Mohd Zuki berkata, pemantauan tetap dilakukan bagi memastikan arahan itu sentiasa dipatuhi dan menjadi amalan dalam sektor perkhidmatan awam.

"Sekiranya berlaku pelanggaran, mungkin ada tindakan yang diambil, tetapi saya yakin dan percaya semua ketua jabatan memahami apa yang dihasratkan oleh kerajaan (menerusi arahan ini),” katanya.

Pada 18 Oktober lepas, kerajaan mengeluarkan arahan baharu kawalan perbelanjaan awam bagi mengelak pembaziran sumber kewangan awam kepada semua kementerian, jabatan, dan agensinya.

Antara yang termaktub dalam arahan yang ditandatangani Mohd Zuki itu ialah penganjuran acara, majlis, keraian rasmi kerajaan, mesyuarat, persidangan, seminar serta bengkel dihadkan bagi program benar-benar perlu saja, dan disaran diadakan di premis atau institusi latihan awam (ILA).

Arahan itu juga antara lain menyebut bahawa sumber utiliti termasuk elektrik dan air serta peralatan pejabat perlu digunakan secara optimum, di samping pembaziran penyediaan makan dan minum ketika mesyuarat atau program perlu dielakkan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu dalam ucapan perasmian pada majlis itu, Mohd Zuki berkata, golongan perancang bandar perlu membudayakan daya cipta dalam perancangan ekosistem kerana ia dapat memberikan nilai tambah yang tinggi kepada landskap bandar dan kehidupan komuniti. - Bernama