Wujudkan bajet, gaji siling Piala Presiden, Piala Belia

Laporan Sukan Sinar pada Selasa. (GAMBAR KECIL) PEKAN
Laporan Sukan Sinar pada Selasa. (GAMBAR KECIL) PEKAN
A
A
A

KEPUTUSAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan setiap kelab Liga Super menghantar pasukan untuk Piala Presiden dan Piala Belia bermula musim depan disifatkan langkah tepat memacu pembangunan akar umbi apabila tidak hanya memberi tumpuan kepada pasukan Liga Super sahaja.

Namun pada masa sama, penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli juga menyarankan badan induk bola sepak negara itu dapat mewujudkan satu garis panduan bajet dan harga siling gaji pemain.

Jelas Pekan, pendekatan itu penting bagi memastikan kebajikan dalam kalangan pemain muda ini sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya.

“Saya tak boleh nak komen apa-apa kalau pemilik-pemilik pasukan Liga Super sendiri sudah menyatakan persetujuan memenuhi syarat FAM untuk menghantar pasukan Piala Presiden dan Piala Belia hanya disebabkan kebimbangan tak dapat lesen Liga Super nanti.

“Namun yang merisaukan saya adalah mengenai kemampuan kelab-kelab Liga Super untuk menampung kos tambahan untuk operasi dua pasukan lagi dalam keadaan persekitaran ekonomi semasa yang tidak berapa baik ketika ini.

“Paling penting sudah pasti kita tidak mahu melihat bakat-bakat Piala Presiden dan Piala Belia ini muda-muda merasai pengalaman pahit dan rasa serik disebabkan gaji tidak mampu dibayar kelab masing-masing selepas ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebelum ini Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mewajibkan setiap kelab menghantar pasukan untuk Piala Presiden dan Piala Belia bermula musim depan.

Tegas Mohd Yusoff, kegagalan pasukan Liga Super untuk menyediakan pasukan untuk saingan tersebut akan menyaksikan kelab tidak diberikan lesen kebangsaan dan tidak boleh bermain dalam saingan Liga Super.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keputusan tersebut bagi memastikan program pembangunan bola sepak negara tidak diketepikan dalam usaha melahirkan pemain pelapis.

Jelas Pekan lagi, sebaiknya FAM sebagai penyelia dua kejuaraan pada peringkat pelapis ini dapat mewujudkan garis panduan yang boleh dijadikan rujukan jelas kepada pasukan-pasukan.

“Ini penting bagi memastikan kelab-kelab Liga Super ini tidak bersikap ala kadar atau janji ada sahaja dalam menyediakan pasukan pembangunan masing-masing.

“Pada masa sama cadangan bajet dan gaji siling ini secara tidak langsung akan mendidik pasukan-pasukan untuk lebih berdisiplin dalam berbelanja setiap musim.

"Pemantauan atau audit bulanan juga perlu dibuat kepada setiap pasukan untuk memastikan tiada pasukan yang menyembunyikan kegagalan melunaskan gaji pasukan.

“Kita juga tidak mahu semangat bakat-bakat muda negara ini patah di tengah jalan apabila pasukan-pasukan ini tidak mampu melunaskan janji mereka di ketika keterujaan pemain-pemain ini untuk menyarung jersi Harimau Malaya sangat tinggi,” katanya.

Sebagai rekod, saingan Piala Presiden (Bawah 20 tahun) dijadualkan bermula pada Februari hingga Ogos 2024 manakala Piala Belia (Bawah 18 tahun) akan dimulakan pada April hingga September 2024.

Pada ketika ini berdasarkan semakan di laman web FAM skuad Piala Presiden 2023 melibatkan Akademi Moktar Dahari (AMD) Bawah 17 Tahun, Johor Darul Ta’zim III, Kedah Darul Aman FC, Kelantan FC, Kelantan United FC, Kuala Lumpur City FC, Kuching City, Melaka FA, Negeri Sembilan FC, PDRM FC, Penang FC, Perak FC III, Sabah FC, Selangor FC, Sri Pahang FC dan Terengganu FC III.

Saingan Piala Belia pula melibatkan Akademi Moktar Dahari Bawah 16 Tahun (AMD16), JDT IV, Kedah Darul Aman FC D, Kelantan, Kuala Lumpur City FC, Melaka FA, Penang FC, Sabah FC, Selangor FC, Sri Pahang FC, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Terengganu FC IV.