Cara tangani rasuah mesti dinamik

Cara tangani rasuah mesti dinamik. Foto hiasan
Cara tangani rasuah mesti dinamik. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Pendedahan mengenai keburukan rasuah dalam kalangan masyarakat tidak hanya tertumpu kepada pendidikan berbentuk formal seperti pelajaran di dalam kelas semata-mata.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Norhayati Nordin berkata, pendekatan tersebut perlu disesuaikan dengan segmen komuniti dalam setiap lapisan masyarakat.

“Cara menangani rasuah ini mesti dinamik. Tak semestinya kita kena beri syarahan atau ceramah politik sahaja untuk memberikan kesedaran. Ia perlu disesuaikan mengikut peringkat umur dari peringkat kanak-kanak, belia, dewasa sehingga ke warga emas.

“Kalau dengan murid sekolah rendah, mana boleh nak cerita tentang reformasi undang-undang berkaitan perlindungan maklumat. Sebab ini pentingnya kepelbagaian pendidikan tidak formal untuk setiap golongan.

“Banyak lagi yang kita boleh lakukan. Contohnya, buat program atau pertandingan yang dapat mencungkil bakal dan kreativiti orang ramai. Jadi, mereka boleh menyuarakan pandangan sendiri berkenaan isu ini,” katanya kepada Sinar harian.

Akhbar ini pada Jumaat melaporkan, seramai 180 peserta terdiri daripada pelajar, kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan ahli-ahli Rasuah Busters menyertai program Integrity Beach Clean Up 3.0 di Pantai Tok Jembal, Terengganu.

Program yang diadakan sempena Sambutan Bulan Integriti Nasional Tahun 2023 itu dianjurkan Unit Integriti, UMT dengan kerjasama Kelab Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah serta Rasuah Busters.

Tambah Norhayati, semua kumpulan masyarakat terdedah kepada potensi untuk memberi atau menerima rasuah.

Artikel Berkaitan:

“Mendidik dalam meningkatkan integriti mengenai isu ini memerlukan strategi dan tak boleh kata rasuah ini hanya melibatkan golongan elit sahaja,” ujarnya.