Jumlah mangsa banjir di Selangor, Perak terus meningkat malam ini

Situasi banjir di Selangor dan Perak tidak menunjukkan tanda reda apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS di kedua-dua negeri itu terus mencatatkan peningkatan malam ini. - Gambar hiasan
Situasi banjir di Selangor dan Perak tidak menunjukkan tanda reda apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS di kedua-dua negeri itu terus mencatatkan peningkatan malam ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Situasi banjir di Selangor dan Perak tidak menunjukkan tanda reda apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri itu terus mencatatkan peningkatan malam ini.

Di SELANGOR, jumlah mangsa terus meningkat kepada 722 orang daripada 184 keluarga berbanding 673 orang daripada 170 keluarga pagi Selasa.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, sebuah lagi PPS dibuka di Dewan Dato Hormat Kampung Seri Cheeding, Jenjarom dalam daerah Kuala Langat yang menempatkan lapan mangsa, sekali gus menjadikan lapan PPS dibuka di negeri itu setakat malam ini.

Berdasarkan Info Banjir Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Selangor, dua sungai di negeri itu telah melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Semenyih di Pekan Bangi Lama, Hulu Langat pada 17.15 meter (m) dan Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat dengan aras air setinggi 11.38m setakat jam 7.30 malam ini.

Sungai Semenyih di Kampung Pasir, Hulu Langat dan Sungai Langat di Jenderam Hilir, Sepang pula telah melebihi tahap amaran dengan masing-masing mencatatkan aras air setinggi 49.86m dan 3.95m.

Sementara di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri itu dalam kenyataan memaklumkan mangsa banjir meningkat kepada 310 orang daripada 91 keluarga setakat malam ini berbanding 299 orang daripada 87 keluarga pagi tadi di empat PPS di daerah Hilir Perak dan Kerian.

"Jumlah mangsa di Hilir Perak bertambah kepada 156 orang daripada 48 keluarga di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak manakala di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, tiada lagi mangsa ditempatkan di PPS itu namun pusat itu belum ditutup secara rasmi.

"Mangsa banjir di Kerian pula kekal 97 orang daripada 24 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 orang daripada 19 keluarga berlindung di PPS SK Alor Pongsu," menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

JPS melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong masih berada di tahap bahaya pada 4.08m, Sungai Kinta di Weir Tanjung Tualang pula dalam keadaan berjaga-jaga pada paras 13.09m.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak pula memaklumkan laluan FT 147 Jalan Selama di Kerian masih ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh sementara laluan A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah dijadikan sebagai jalan alternatif. - Bernama