Penganggur dicekup selepas samun penjual churros

Motosikal yang digunakan suspek dalam kegiatan jenayah itu. Gambar kecil: Christopher Patit
Motosikal yang digunakan suspek dalam kegiatan jenayah itu. Gambar kecil: Christopher Patit
A
A
A

MELAKA - Seorang penganggur dicekup polis selepas dipercayai menyamun seorang penjaja di kawasan gerai makanan di Taman Duyong Bestari di sini, pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian 5.15 petang itu suspek berusia 23 tahun datang ke gerai mangsa dengan alasan untuk membeli kuih churros.

Menurutnya, tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa kemudian menyiapkan tempahan lelaki itu yang datang dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz.

"Namun ketika pengadu sedang menggoreng churros, secara tiba-tiba lelaki tersebut telah membawa lari bekas berisi wang yang dianggarkan berjumlah RM700 di atas meja.

"Namun hasil semakan mendapati nombor pendaftaran motosikal yang digunakan adalah palsu," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Selasa.

Tambahnya, bagaimanapun dalam tempoh beberapa hari, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Melaka Tengah berjaya mengesan supek di kawasan Bukit Katil.

Menurutnya, suspek yang membantu bapa mertuanya berniaga sarapan pagi ditahan di kawasan Medan Selera, Taman Merak Mas, Bukit Katil kira-kira jam 4.15 petang pada Isnin.

"Polis turut merampas beberapa barang kes seperti sebuah motosikal, telefon bimbit serta dadah seberat 0.55 gram dalam peket lut sinar dipercayai syabu.

Artikel Berkaitan:

"Semakan awal juga mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan polis telah memohon reman terhadap suspek bagi menjalankan siasatan lanjut.