UAE akan bina hospital medan di Gaza

Jenazah rakyat Palestin yang maut akibat letupan di Hospital Ahli Arab dikumpulkan di halaman Hospital al-Shifa di Bandar Gaza, baru-baru ini. - Foto AP
Jenazah rakyat Palestin yang maut akibat letupan di Hospital Ahli Arab dikumpulkan di halaman Hospital al-Shifa di Bandar Gaza, baru-baru ini. - Foto AP
A
A
A

ABU DHABI - Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan pada Isnin mengarahkan penubuhan hospital medan di Gaza sebagai sebahagian daripada operasi kemanusiaan 'Gallant Knight 3'.

Agensi Berita Emirates (WAM) melaporkan, lima pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi membawa peralatan dan bekalan yang diperlukan untuk hospital medan itu pada Isnin.

Kargo itu dijadual diturunkan di Lapangan Terbang Al-Arish di Mesir sebelum dipindahkan ke Semenanjung Gaza.

Hospital medan dengan kapasiti 150 katil itu akan didirikan mengikut fasa.

Kemudahan itu termasuk jabatan untuk pembedahan am, ortopedik, pediatrik dan ginekologi, sebagai tambahan kepada anestesia dan unit rawatan rapi yang memenuhi keperluan kanak-kanak dan orang dewasa.

Hospital medan itu juga bakal dilengkapi dengan klinik perubatan dalaman, pergigian, psikiatri, dan perubatan keluarga.

Perkhidmatan tambahan akan termasuk imbasan CT, makmal, farmasi dan lain-lain.

Inisiatif itu mencerminkan sokongan dan solidariti UAE dengan rakyat Palestin.

Artikel Berkaitan:

UAE sebelum ini mengumumkan pemberian bantuan segera kepada rakyat Palestin berjumlah AS$20 juta selain inisiatif membawa kira-kira 1,000 kanak-kanak Palestin dari Semenanjung Gaza bersama keluarga mereka untuk rawatan perubatan di hospital UAE. - Bernama